Penubuhan MPM Berakas ‘B’ perkukuh permuafakatan akar umbi

22 Sep 2026 - 6:30am

Berita dan Foto : Ihsan Majlis Perundingan Mukim Berakas ‘B’

BERAKAS, Isnin, 21 September. - Mesyuarat Penubuhan Majlis Perundingan Mukim Berakas ‘B’, Daerah Brunei dan Muara diadakan baru-baru ini bertempat di Bilik Serbaguna, Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.

Mesyuarat tersebut dihadiri seramai 34 orang dan dipengerusikan oleh Penghulu Mukim Berakas ‘B’, Awang Haji Syed Mohd. Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah.

Dalam ucapan pengerusinya, Penghulu Mukim Berakas ‘B’ antara lain menekankan bahawa penubuhan Majlis Perundingan Mukim (MPM) Berakas ‘B’ bukan sekadar pembentukan jawatankuasa, bahkan merupakan satu amanah bersama yang perlu digalas dengan penuh keikhlasan, komitmen dan semangat bermuafakat.

Beliau turut menyatakan bahawa MPM perlu berperanan sebagai platform bagi ahli-ahlinya untuk berfikir, merancang dan bertindak secara kolektif demi kemakmuran mukim, kesejahteraan penduduk dan keharmonian masyarakat, seterusnya menyumbang ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.

Mesyuarat berkenaan juga menjadi satu langkah penting dalam memperkukuhkan peranan MPM sebagai wadah permuafakatan serta penggerak pembangunan masyarakat di peringkat mukim. Setinggi-tinggi tahniah turut diucapkan kepada Ahli Jawatankuasa MPM Berakas ‘B’ yang baharu dilantik.

Pelantikan tersebut diharapkan akan menjadi pemangkin kepada gerak kerja yang lebih tersusun, berkesan dan berpaksikan kepentingan masyarakat.

Ahli Jawatankuasa yang baru dilantik juga dihasratkan agar dapat menggalas tanggungjawab dengan penuh dedikasi dalam sama-sama memakmurkan Mukim Berakas ‘B’, selain memperkukuhkan semangat kerjasama antara pemimpin akar umbi, institusi kampung dan masyarakat setempat.

Penubuhan MPM Berakas ‘B’ ini juga selaras dengan hasrat untuk memperkukuhkan penglibatan masyarakat dalam pembangunan mukim melalui semangat permuafakatan, kebersamaan dan tanggungjawab sosial.