Persidangan kehakiman sediakan platform perbincangan ketua hakim Asia, Pasifik

22 Sep 2026 - 6:42am

Siaran Akhbar dan Foto : Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam

REPUBLIK KOREA, Isnin, 21 September. - Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon, telah menghadiri Persidangan Ketua-Ketua Hakim Asia dan Pasifik (Chief Justices of Asia and the Pacific - CJAP) Ke-20 yang berlangsung dari 16 hingga 19 September 2026 di Seoul, Republik Korea.

Persidangan CJAP merupakan forum antarabangsa utama di rantau berkenaan yang menghimpunkan para ketua hakim bagi berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai sistem kehakiman serta perkembangan dalam badan kehakiman masing-masing.

Persidangan yang diadakan secara dwitahunan berkenaan menyediakan platform kepada para ketua hakim dari rantau Asia dan Pasifik untuk membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama dalam bidang kehakiman.

Sejak pertemuan sulungnya di Pulau Pinang, Malaysia pada Ogos 1985, persidangan berkenaan terus menjadi salah satu asas penting dalam kerjasama kehakiman. Persidangan berkenaan juga telah berkembang sebagai platform yang bernilai dalam memudah cara pertukaran pandangan dan idea secara profesional dalam kalangan hakim kanan di rantau Asia dan Pasifik.

Dianjurkan oleh Bahagian Kehakiman Persatuan Undang-Undang Asia dan Pasifik (Law Association for Asia and the Pacific-LAWASIA), persidangan ke-20 berkenaan telah dianjurkan oleh Mahkamah Agung Republik Korea.

Ketua-ketua hakim dan hakim-hakim yang mewakili pelbagai bidang kuasa telah meneliti serta membincangkan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh badan kehakiman masing-masing menerusi beberapa sesi perbincangan.

Antara topik yang dibincangkan termasuk peranan badan kehakiman, penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam bidang perundangan, kepentingan pendidikan kehakiman, undang-undang dan keganasan berasaskan jantina, integriti kehakiman dan keyakinan orang ramai, serta penswastaan keadilan.

Persidangan CJAP Ke-20 berkenaan dihadiri oleh para ketua hakim dan hakim yang mewakili kira-kira 40 bidang kuasa, termasuk Australia, Azerbaijan, Negara Brunei Darussalam (NBD), Kanada, Republik Rakyat China, Czechia, Ecuador, Mesir, Fiji, Polinesia Perancis, Guam, Hong Kong SAR, Republik India, Republik Indonesia, Jepun, Kenya, Kazakhstan, Republik Korea, Kuwait, Latvia, Macao SAR, Malaysia, Maldives, Kepulauan Marshall, Mongolia, Montenegro, Republik Kesatuan Myanmar, New Caledonia, New Zealand, Niue, Republik Islam Pakistan, Papua New Guinea, Republik Filipina, Republik Singapura, Thailand, Republik Türkiye, Amerika Syarikat, Uzbekistan dan Republik Sosialis Viet Nam.

Turut hadir ialah wakil daripada pelbagai pertubuhan antarabangsa, antaranya Asian Development Bank (ADB), European Court of Human Rights, European Law Institute, The Hague Institute for Innovation of Law, Standing International Forum of Commercial Courts, OECD, UNCITRAL, UNDP, UNIDROIT, Bank Dunia, UNODC, WIPO dan World Justice Project.

Pada persidangan berkenaan, Yang Amat Arif, Ketua Hakim Mahkamah Besar telah membentangkan kertas kerja bertajuk 'Adil Laila Bahagia : A Bruneian Perspective on Judicial Independence, Integrity, Public Trust and Confidence' dalam sesi bertemakan Integriti Kehakiman dan Kepercayaan Awam.

Yang Amat Arif, Ketua Hakim Mahkamah Besar turut mengadakan pertemuan dua hala bersama The Honourable Chief Justice Jo Hee-de of the Republic of Korea; dan The Honourable Chief Justice Andrew Bell of the Supreme Court of New South Wales, Australia and Chair of the Judicial Division of LAWASIA on the side-lines of the conference.

Selain itu, Yang Amat Arif Ketua Hakim Mahkamah Besar juga mengadakan lawatan ke Mahkamah Agung Republik Korea serta Judicial Research and Training Institute (JRTI).

Turut hadir pada persidangan berkenaan, Pemangku Ketua Pendaftar, Dayang Hajah Hazarena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah; dan Pendaftar Kanan, Dayang Hajah Noor Amalina binti Dato Paduka Haji Alaihuddin, dari Mahkamah Besar NBD.