Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Temburong
TEMBURONG, Rabu, 28 Oktober. - Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V, 2026 bagi Daerah Temburong telah diadakan baru-baru ini bertempat di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Temburong.
Hadir selaku tetamu kehormat dan kemudiannya menyempurnakan penyerahan bendera tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan daripada Pemangku Pegawai Daerah Temburong.
Acara diteruskan dengan penyerahan bendera Kontinjen Daerah Temburong kepada Ketua Kontinjen, Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Suhaili serta penyerahan tajaan sebagai tanda sokongan terhadap penyertaan kontinjen dalam kejohanan sukan berkenaan.
Kontinjen Daerah Temburong akan menyertai kesemua 10 acara di SKBD Ke-V 2026 iaitu Akuatik, Badminton, Bola Sepak, Futsal, Karate, Olahraga, Bola Jaring, Pencak Silat, Sepak Takraw dan Tarik Kalat.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen Daerah Temburong dalam menggalakkan penglibatan dalam bidang sukan, di samping memupuk semangat kesukanan, disiplin, perpaduan dan kerjasama berpasukan dalam kalangan para atlet.