Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. – Perbahasan yang berlangsung selama lima hari mencerminkan satu hasrat bersama supaya kemajuan negara bukan sahaja dirancang dengan baik tetapi dilaksanakan secara berkesan dan membawa hasil yang dapat dirasakan oleh rakyat dan penduduk.
Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi tahun 2026 ini memberi perhatian kepada perkara-perkara yang mempunyai kepentingan strategik kepada negara termasuk Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof menyatakan perkara itu dalam Usul Penangguhan pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat menjelaskan, perbahasan mengenainya telah membuka ruang untuk melihat secara lebih menyeluruh bagaimana dasar, strategi dan tindakan dapat diperkukuh agar bergerak dalam hala tuju negara yang sama.
Antara perkara yang jelas daripada perbahasan sepanjang persidangan ini ialah cabaran pembangunan hari ini semakin berkait, iaitu pendidikan berkait rapat dengan pembangunan bakat dan peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dengan pelaburan, produktiviti dan daya saing, kesejahteraan masyarakat dengan perumahan, kesihatan dan perlindungan sosial dan daya tahan negara turut bergantung kepada keterjaminan makanan dan tenaga, infrastruktur, transformasi digital serta keselamatan negara secara menyeluruh.
Yang Berhormat juga menjelaskan, justeru, penyelarasan bukan bermaksud semua perkara perlu diurus oleh satu pihak. Sebaliknya, ia memastikan usaha kementerian dan agensi saling melengkapi, isu merentas bidang dapat ditangani secara bersama dan keputusan yang dibuat mengambil kira kepentingan negara secara menyeluruh.
"Dalam konteks ini, peranan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri Penyelaras Dasar-Dasar Ekonomi, dan Menteri Penyelaras Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia adalah untuk memperkukuh penyelarasan sedia ada tanpa mengambil alih mandat kementerian dan agensi masing-masing.
"Apa yang perlu diberi perhatian seterusnya ialah pelaksanaan. Rakyat dan penduduk mahu melihat dasar, pelan tindakan dan inisiatif yang dilaksanakan membawa kepada perkhidmatan yang lebih cekap, peluang pekerjaan yang berkualiti, persekitaran perniagaan dan pelaburan yang kondusif, bekalan keperluan asas yang berdaya tahan, penggunaan teknologi yang memberi nilai tambah dan penyelesaian yang memberi kesan terhadap perkara-perkara yang menyentuh kehidupan seharian", kata Yang Berhormat lagi.
Menurut Yang Berhormat, inilah ukuran yang akhirnya memberi makna kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat serta penduduk.
Terdahulu Yang Berhormat menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas kepimpinan, kewibawaan dan keprihatinan berterusan baginda terhadap kesejahteraan rakyat, pengukuhan tadbir urus kerajaan dan kemajuan negara demi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Pada kesempatan itu juga, Yang Berhormat juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kebijaksanaan dan panduan berterusan dalam memimpin perjalanan persidangan tersebut.
Yang Berhormat juga menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Jurutulis MMN dan Timbalan Jurutulis MMN, pihak urus setia serta pegawai-pegawai dan kakitangan yang terlibat, yang telah bertungkus-lumus memastikan urusan permesyuaratan berjalan dengan lancar.
Selain itu, Yang Berhormat turut menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengetengahkan isu-isu yang menjadi perhatian dan kepentingan rakyat dan penduduk di negara ini.