Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri
GADONG, Isnin, 26 Oktober. - Persidangan Perniagaan Brunei (Brunei Business Conference) 2026 diteruskan lagi pada sesi petang, hari ini, dengan perbincangan mengenai pembangunan sektor penjagaan kesihatan di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Persidangan dimulakan dengan penyampaian ucaptama daripada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengenai keutamaan penjagaan kesihatan di NBD.
Yang Berhormat menggariskan keutamaan Kementerian Kesihatan dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan serta menekankan peranan pelaburan sektor swasta, kesihatan digital dan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam meningkatkan perkhidmatan dan membangunkan sektor penjagaan kesihatan sebagai sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Seterusnya, satu sesi perbincangan panel diadakan untuk membincangkan perkembangan industri penjagaan kesihatan swasta dalam memastikan akses kepada perkhidmatan dan kualiti penjagaan terus terpelihara. Perbincangan turut merangkumi sumbangan insurans, Kecerdasan Buatan (AI) dan kesihatan digital.
Panel tersebut terdiri daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud; Pengurus Besar AIA Brunei, Cecilia Phan; Pemangku Ketua Pegawai Perubatan Pusat Perubatan Jerudong Park, Pengiran Dr. Hajah Siti Nur' Ashikin binti Pengiran Dato Paduka Haji Tengah dan Ketua Pegawai Eksekutif Tamada Nursing Service Brunei Darussalam, Awang Haji Julaini bin Haji Latip. Sesi tersebut dikendalikan oleh Pengarah Urusan Confer Sdn. Bhd., Allen Lai.
Sesi terakhir memberi tumpuan kepada Tahun Melawat Brunei 2027 yang mana Pemangku Timbalan Pengarah Kemajuan Pelancongan, Dayang Hajah Nur Fariza Munyati binti Haji Abd. Aji telah menyampaikan pembentangan mengenai usaha membangunkan ekonomi berasaskan destinasi pelancongan.
Beliau turut disertai oleh Pengurus Besar Radisson Hotel Brunei, Christina Gutierrez-Dumaraos dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim Royal Brunei Airlines, Kolonel Norsuriati binti Haji Sharbini untuk membincangkan persiapan negara menjelang tahun 2027 serta peluang mengembangkan sektor acara perniagaan, pelancongan perubatan dan pelancongan pendidikan. Sesi tersebut dikendalikan oleh Ketua Bahagian Syarikat Pemula dan Perusahaan Baharu di Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, Reuben Chin.
Persidangan tersebut merumuskan bahawa fasa pertumbuhan seterusnya bagi NBD akan bergantung pada asas kegiatan ekonomi yang lebih luas, yang disokong oleh kerjasama lebih erat antara kerajaan dengan pihak industri.
Perbincangan menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama pelaburan di seluruh Pulau Borneo, potensi sektor penjagaan kesihatan swasta sebagai sumber pelaburan dan peluang pekerjaan berkemahiran, serta kepentingan persiapan yang diselaraskan merentasi sektor pelancongan, penerbangan, hospitaliti dan sektor berkaitan bagi memastikan kejayaan Tahun Melawat Brunei 2027.
Para peserta turut mengakui bahawa kerjasama berterusan antara sektor awam dengan sektor swasta amat penting untuk merealisasikan peluang-peluang ini kepada hasil yang nyata demi menyokong Wawasan Brunei 2035.