Permohonan Kurnia Tambang Menunaikan Fardu Haji dibukakan

22 Jul 2026 - 5:43am

Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 21 Julai. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Urusan Haji (JUH) sukacita memaklumkan kepada pegawai dan kakitangan kerajaan, sama ada yang sedang berkhidmat mahupun yang telah bersara bahawa permohonan Kurnia Tambang Menunaikan Fardu Haji bagi Tahun 1448 Hijrah / 2027 Masihi telah pun dibukakan mulai Isnin, 20 Julai 2026.

Semua permohonan hendaklah dihadapkan kepada JUH, KHEU melalui ketua jabatan masing-masing tidak lewat Sabtu, 19 September 2026.

Pegawai dan kakitangan yang berhasrat untuk memohon Kurnia Tambang Menunaikan Fardu Haji bagi Tahun 1448H / 2027M bolehlah mendapatkan borang permohonan pada hari-hari bekerja iaitu bermula pukul 8.30 pagi hingga 11.30 pagi dan disambung semula pada pukul 2.00 petang hingga 3.30 petang.

Borang permohonan boleh diperoleh di JUH, Tingkat 2, Bangunan Tambahan, KHEU, Jalan Dewan Majlis, Negara Brunei Darussalam dan di Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Tutong dan Temburong.

Selain itu, borang permohonan pengurniaan tambang tersebut juga boleh dimuat turun melalui laman sesawang rasmi JUH di pautan www.juh.gov.bn.