Oleh : Hajah Rosidah Haji Ismail
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos berkata bahawa secara dasarnya, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) sentiasa memastikan daya saing industri telekomunikasi melalui tiga pendekatan utama, iaitu memastikan persaingan yang sihat, menggalakkan penawaran perkhidmatan yang memberikan nilai kepada pengguna, serta mendorong inovasi dan peningkatan kualiti perkhidmatan.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyatakan demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat mengenai bagaimana kerajaan memastikan industri telekomunikasi negara terus berdaya saing dari segi harga dan inovasi perkhidmatan khususnya dalam keadaan pengguna pada masa ini mempunyai semakin banyak pilihan perkhidmatan digital rentas sempadan pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kali Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Jelas Yang Berhormat lagi, dari segi harga, berdasarkan penilaian antarabangsa melalui ITU ICT Price Basket 2025, Negara Brunei Darussalam berada di tempat kedua di ASEAN bagi semua indikator, selepas daripada Republik Singapura, dan Ke-29 daripada 208 buah negara di dunia. Negara juga dikategorikan sebagai ‘Target Met’ bagi harga perkhidmatan jalur lebar mudah alih dan tetap. Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan perkhidmatan digital yang berkualiti, mampu milik dan inklusif, selaras dengan aspirasi Digital Brunei 2030.
Selain melihat kepada harga semata-mata, Yang Berhormat berkata bahawa kementerian melalui AITI turut mengambil kira faktor-faktor lain, termasuk nilai yang diterima oleh pengguna dari segi jumlah data, ciri-ciri serta manfaat perkhidmatan yang ditawarkan. Sebagai misalan, harga pelan pascabayar peringkat permulaan telah menurun sebanyak 60 peratus. Pelan yang dahulunya menawarkan 8GB pada harga BND30 kini menyediakan sehingga 18GB, yang bermakna kos bagi setiap GB telah menurun lebih daripada 55 peratus.
“Pada masa yang sama, para operator tempatan turut menawarkan pelbagai pilihan seperti panggilan dan SMS tanpa had serta pelan khusus data. Ini memberikan pengguna lebih banyak pilihan untuk memilih pakej yang bersesuaian dengan keperluan dan penggunaan masing-masing,” jelas Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat juga menjelaskan dari segi inovasi pula, kementerian akan terus menggalakkan para operator untuk meningkatkan kualiti, memperkenalkan perkhidmatan baharu serta menyesuaikan penawaran mereka dengan perubahan corak penggunaan digital.
Yang Berhormat menegaskan bahawa ini penting kerana persaingan pada masa ini bukan lagi hanya antara satu operator dengan operator yang lain di dalam negara. Pengguna juga semakin terdedah kepada pelbagai perkhidmatan digital dari luar negara yang mungkin menawarkan harga, kandungan atau ciri-ciri yang lebih menarik. Oleh itu, para operator tempatan perlu sentiasa melihat kepada keperluan dan jangkaan pengguna serta terus berinovasi supaya perkhidmatan yang ditawarkan kekal relevan dan kompetitif.
Berhubung dengan penggunaan perkhidmatan rentas sempadan, termasuk ‘roaming’, Yang Berhormat berkata bahawa kementerian memahami bahawa sebilangan pengguna mungkin memilih perkhidmatan daripada penyedia luar negara atas faktor-faktor tertentu, termasuk liputan, keserasian rangkaian, harga dan keperluan semasa berada di luar negara. Namun begitu, Yang Berhormat menjelaskan bahawa tarif ‘roaming’ adalah ditentukan secara komersial melalui International Roaming Agreements antara operator dengan rakan antarabangsa masing-masing dan bukan ditetapkan oleh AITI.
“Walaupun demikian, AITI akan terus menggalakkan para operator untuk merundingkan dan menawarkan pakej ‘roaming’ yang lebih kompetitif serta memberikan nilai yang lebih baik kepada pengguna. Pada masa yang sama, kementerian akan terus memastikan persekitaran kawal selia yang adil, telus dan kondusif kepada persaingan. Ini termasuk melalui pemantauan pasaran, perbincangan berterusan dengan UNN dan para operator seperti DST, Imagine dan Progresif, serta mengambil kira perkembangan teknologi dan perubahan dalam keperluan pengguna,” ujar Yang Berhormat lagi.
Dalam perkara yang berkaitan dengan penetapan harga, Yang Berhormat menjelaskan bahawa struktur pakej dan nilai tambah sesuatu perkhidmatan pada akhirnya merupakan keputusan komersial setiap operator. Justeru, para operator sendiri perlu memainkan peranan untuk terus berinovasi, meningkatkan kualiti dan menawarkan nilai yang kompetitif agar kekal menjadi pilihan orang ramai. Persaingan yang sihat ini seterusnya akan memberi manfaat kepada pengguna melalui pilihan yang lebih baik, harga yang berpatutan serta perkhidmatan yang berkualiti.
Yang Berhormat menjelaskan bahawa dalam menghadapi pilihan digital yang semakin luas merentas sempadan, pendekatan kementerian bukanlah untuk menghalang pengguna daripada mendapatkan perkhidmatan luar negara, tetapi untuk memastikan industri tempatan mempunyai persekitaran yang membolehkan ia terus bersaing.
“Dengan dasar dan kawal selia yang menyokong, persaingan yang sihat serta kerjasama berterusan dengan industri, kita mahu memastikan pengguna di negara ini terus mempunyai pilihan perkhidmatan yang berkualiti, kapasiti data yang mencukupi, harga yang berpatutan dan perkhidmatan yang sentiasa berkembang mengikut keperluan zaman,” ujar Yang Berhormat mengakhiri jawapan bagi soalan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Ahli MMN, Ketua Kampung Putat.