Persembahan Badundang, Lagu Brunei meriahkan Pesta Buku 2026

20 Jul 2026 - 7:43am

Oleh : Rohani Haji Abdul HamidFoto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Ahad, 19 Julai. - Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) bagi Cawangan Daerah Brunei dan Muara menganjurkan Persembahan Badundang dan Lagu Brunei bagi memeriahkan lagi penganjuran Pesta Buku Brunei 2026.

Aktiviti yang diadakan di Pentas Kegiatan, Stadium Tertutup Hassanal Bolkiah, petang tadi, adalah bertepatan dalam mendukung salah satu peranan PKWE untuk memperkenalkan lagi lagu-lagu Brunei yang lama.

“Melalui aktiviti Badundang ini, Kumpulan Seri Emas PKWE telah ditubuhkan pada tahun 2023 yang mempunyai seramai 10 orang ahli yang begitu aktif dan seterusnya berpeluang menghadiri beberapa persembahan dalam ataupun luar negeri,” jelas Dayang Hajah Fatimah binti Orang Seri Utama Haji Besar semasa ditemu bual oleh Pelita Brunei.

Menurut beliau lagi, selain untuk memperkenalkan, mendedahkan kemasyarakatan bahawa Badundang dan Lagu-lagu Brunei amat terkenal hingga sekarang walaupun kurang diminati oleh generasi muda.

Pada masa ini warga emas tidak melepaskan peluang untuk memberikan persembahan yang menarik untuk memperkenalkan lagu-lagu Brunei yang lama dan juga yang baharu.