Persembahan Kebudayaan meriahkan Pentas Perayaan

16 Jul 2026 - 5:27am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

TUTONG, Rabu, 15 Julai. - Acara Pentas Perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, dimeriahkan dengan Persembahan Kebudayaan iaitu Malam Nostalgia Kampung Ukong, malam tadi.

Acara tersebut berlangsung di Pentas Perayaan di kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Tutong, di sini. Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.

Antara pengisian persembahan pentas ialah Lagu Pembukaan daripada penduduk kampung, diikuti dengan nyanyian ramai Lagu 'Keputeraan Dirgahayu', seterusnya dendangan lagu-lagu pilihan.

Turut dimuatkan dalam pengisian persembahan ialah Kuiz Bahasa Dusun dan disusuli dengan Persembahan Teater Muzikal 'Asal Usul Adat Temarok' yang dipersembahkan oleh Beliawanis Kampung Ukong. Acara diakhiri dengan persembahan Lagu Penutup 'Kampungku Ukong Mamagon'.

Antara lain tujuan acara tersebut diadakan bagi menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Perayaan Hari Keputeraan baginda Ke-80 Tahun.