Persembahan Khas zahirkan semangat perpaduan, menjunjung institusi beraja

23 Jul 2026 - 8:27am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said, Mohammad Hasif Matzin, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman, Na'il Haris Haji Muhd. Nikman

TUTONG, Rabu, 22 Julai. – Persembahan Khas bertemakan ‘Raja Bijaksana Inspirasi Rakyat’ menyerikan Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk bagi Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun yang berlangsung di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, hari ini.

Persembahan berkenaan mengangkat tema yang menonjolkan kedaulatan serta kewibawaan raja dalam menerajui rakyat dan negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran. Berkat karisma seorang raja yang bijaksana dan berjiwa rakyat, baginda menjadi tunjang utama yang membakar semangat serta memberi inspirasi kepada seluruh rakyat dan penduduk dalam merealisasikan hasrat Wawasan Brunei 2035.

Konsep persembahan ialah memartabatkan keindahan seni warisan dan tradisi Melayu sebagai lambang jati diri serta budaya bangsa. Melalui gabungan pelbagai elemen seni, persembahan menzahirkan semangat perpaduan, menjunjung institusi beraja serta mengangkat raja yang bijaksana sebagai inspirasi rakyat dalam memelihara warisan, memacu kemajuan dan memperkukuh kesejahteraan serta kemakmuran negara.

Pesambah Kesenian Diraja tersebut menggabungkan seni suara, gerak tari, muzik dan irama lagu sebagai manifestasi jati diri, perpaduan serta kesetiaan rakyat kepada institusi beraja.

Persembahan berdurasi 18 minit itu melibatkan seramai 384 peserta dan dibahagikan kepada tiga segmen utama. Segmen pertama membuka tirai persembahan dengan menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui gabungan seni tradisi yang menampilkan Diangdangan, Tarian Berdatang Sembah, petikan gambus dan diakhiri dengan Menambang Syair.

Segmen kedua mengetengahkan keindahan adat dan budaya bangsa menerusi susunan irama muzik, alunan qasidah, nyanyian serta gerak langkah tarian tradisi yang mencerminkan kemanisan warisan Melayu yang diwarisi turun-temurun.

Kemuncak persembahan pada segmen ketiga menampilkan konsep pop tradisi moden kontemporari yang menggabungkan rentak muzik tradisi dan moden bersama elemen koreografi kreatif, dinamik dan bertenaga. Gabungan tersebut menghasilkan suasana persembahan yang megah, bersemangat dan penuh karisma, sekali gus melambangkan kemajuan, kemakmuran dan kecemerlangan Negara Brunei Darussalam di bawah naungan payung mahkota raja yang bijaksana sebagai inspirasi kepada seluruh rakyat dan penduduk.

Konsep dan idea asal persembahan dihasilkan oleh Pegawai Pelajaran dalam Bidang Melayu Islam Beraja, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Mohammad Rimi bin Awang Ahmad.