Pertandingan kucing jadi platform tambah ilmu penjagaan kucing

20 Jul 2026 - 7:36am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Azmah Haji Ahad

BERAKAS, Ahad, 19 Julai. - Pertandingan Kucing Pedigri Antarabangsa Feline Fanciers Federation (FFF) Brunei Kali Ke-3 (3rd Brunei FFF Pedigree International Cat Show) yang berlangsung di Peak Club, Royal Brunei Recreation Club (RBRC) bukan sahaja menghimpunkan kucing-kucing baka dari dalam dan luar negara, malah menjadi platform kepada para peserta dan pengunjung untuk berkongsi minat serta menimba pengetahuan mengenai penjagaan haiwan peliharaan.

Bagi Awang Muhd. Syahiran bin Haji Abu Bakar, pemilik Ming Bengal Cattery dari Kampung Rimba, penyertaannya pada pertandingan kali ini merupakan kali ketiga, dengan membawa beberapa ekor kucing baka Bengal untuk dipertandingkan.

Beliau berkata, penyertaan dalam pertandingan seumpama itu bukan sekadar untuk meraih kemenangan, malah menjadi peluang bertukar pengalaman dengan pemilik kucing lain.

Kucing miliknya juga pernah dinobatkan sebagai King of the Show pada pertandingan yang lalu, sekali gus menjadi antara pencapaian yang membanggakan dalam bidang pembiakan kucing baka Bengal.

“Ramai melihat harga kucing baka ini agak mahal tetapi apa yang lebih penting ialah penjagaan yang rapi. Pemakanan yang berkualiti, penjagaan bulu serta kesihatan perlu sentiasa diberi perhatian. Jika penjagaannya biasa sahaja, hasilnya juga tidak akan memuaskan,” jelas beliau yang turut mengusahakan pembiakan dan penjualan kucing baka Bengal dari kediamannya di Kampung Rimba.

Beliau berharap lebih ramai pencinta kucing akan memberikan perhatian terhadap aspek kebajikan haiwan peliharaan masing-masing. “Tidak kira apa juga baka kucing yang dipelihara, yang paling penting ialah menjaga pemakanan, kesihatan dan kebajikan mereka,” tambahnya.

Sementara itu, Dayang Seri Atikah binti Haji Junaidi dari Kampung Sungai Akar turut menyertai pertandingan buat kali ketiga sejak ia mula dianjurkan.

Antara kucing yang dipertandingkan oleh beliau ialah kucing baka Maine Coon bernama Leeroy dalam Kategori Longhair (Alter), yang telah dipeliharanya sejak sembilan tahun lalu.

Seperti yang diketahui, baka Maine Coon terkenal sebagai antara baka kucing domestik terbesar di dunia dengan fizikal yang besar, badan yang tegap, bulu yang lebat serta ekor yang panjang dan gebu. Namun di sebalik saiznya, baka tersebut mempunyai sifat yang lembut, penyayang dan mudah dijaga.

“Walaupun fizikalnya besar, Leeroy sangat manja dan mudah dijaga. Makanannya hanya biskut dan makanan basah sekali sehari dan kadang-kadang saya berikan daging mentah sebagai makanan tambahan,” katanya yang juga mempunyai enam lagi kucing peliharaan di rumah.

Dalam pada itu, salah seorang pengunjung, Dayang Hajah Ain binti Haji Ismail dari Kampung Mentiri berkata, kunjungannya ke Pertandingan Kucing Pedigri Antarabangsa kali ini merupakan pengalaman pertama menyaksikan pertandingan kucing secara langsung.

Beliau yang mula memelihara kucing sejak tahun 2019 kini memiliki tiga ekor kucing baka Siam bernama Miko, Lampaki dan Kapas, malah turut membawa Kapas ke acara tersebut.

Menurut beliau, program seperti ini memberikan pendedahan berguna mengenai penjagaan kucing di samping membuka peluang kepada orang ramai untuk melihat pelbagai baka yang jarang ditemui.

“Saya memang meminati kucing dan seronok melihat begitu banyak baka serta cara pemilik menjaga haiwan peliharaan mereka. Saya juga sering membawa Kapas keluar berjalan-jalan dan mendaki (hiking),” katanya.

Beliau berharap dapat menyertai pertandingan kucing pada masa hadapan bersama haiwan peliharaannya sendiri, selain menyifatkan acara berkenaan sebagai platform yang mampu menggalakkan lebih ramai masyarakat mencintai serta memahami kepentingan penjagaan dan kebajikan kucing.