Pertemuan Dua Hala jalin kerjasama lebih erat

23 Jul 2026 - 7:57am

Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Rabu, 22 Julai. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Brunei Darussalam (NBD) berkenan mengadakan beberapa Pertemuan Dua Hala dengan beberapa Rakan-rakan Dialog ASEAN di samping Sesi-sesi ASEAN Post Ministerial Conference (PMC).

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Australia, Puan Yang Terutama Penny Wong. Kedua-dua pihak mengalu-alukan kemajuan melaksanakan Comprehensive Strategic Partnership, khususnya dalam bidang tenaga, sekuriti makanan, pertahanan, pendidikan serta pertukaran sesama rakyat.

Dalam Pertemuan Dua Hala bersama Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Wang Yi, Duli Yang Teramat Mulia menegaskan semula hubungan persahabatan dan kerjasama yang telah lama terjalin antara NBD dan China, khususnya sempena Ulang Tahun Ke-35 Hubungan Diplomatik pada tahun ini.

Kedua-dua pihak turut menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan di bawah ‘Strategic Cooperative Partnership towards a Brunei - China community with a shared future’ demi manfaat bersama kedua-dua negara.

DYTM juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Menteri Perlumbaan Kuda dan Menteri Perkhidmatan Kereta Api New Zealand, Tuan Yang Terutama Winston Peters.

Kedua-dua pihak menegaskan semula komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan, tenaga dan pertukaran sesama rakyat.

Menteri-menteri turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Semasa Pertemuan Dua Hala bersama High Representative of the European Union for Foreign Affairs and Security Policy dan Vice President of the European Commission, Puan Yang Terutama Kaja Kallas, DYTM membincangkan bidang-bidang kerjasama yang berkepentingan bersama. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk memulakan semula rundingan mengenai NBD - EU Partnership Cooperation Agreement (PCA).

DYTM juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Korea, Tuan Yang Terutama Cho Hyun.

Semasa pertemuan tersebut, kedua-dua pihak menegaskan semula komitmen untuk terus memperkukuh NBD - Republic of Korea Strategic Partnership, di samping bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

DYTM turut mengadakan Pertemuan Dua Hala dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kanada, Puan Yang Terutama Anita Anand. Kedua-dua pihak meneliti kerjasama dua hala yang sedia terjalin serta menegaskan semula komitmen untuk meneruskan kerjasama dalam forum serantau dan pelbagai hala.