Oleh : Siti Rokiah Abdullah
Foto : Alumni penuntut Tingkatan 4 Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien
GADONG, Ahad, 25 Oktober. - Seramai 120 alumni penuntut Tingkatan 4 Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien (Maktab SOAS) Tahun 1976 telah menghadiri Majlis Reunion sempena Jubli Emas yang berlangsung di The Rizqun International Hotel.
Majlis berkenaan diadakan buat julung kalinya bagi mempertemukan kembali rakan-rakan sekelas selepas 50 tahun meninggalkan alam persekolahan, di samping mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan ikatan persahabatan yang telah terjalin sejak zaman persekolahan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, mantan Pengetua Maktab SOAS, Dato Paduka Haji Ali Hashim bin Haji Daud.
Majlis berkenaan dikendalikan oleh Jawatankuasa Ad Hoc yang dipengerusikan oleh Awang Haji Ibrahim bin Haji Damit, yang juga merupakan salah seorang alumni penuntut daripada kumpulan berkenaan.
Antara pengisian majlis ialah pelancaran kumpulan WhatsApp khusus bagi alumni penuntut Tingkatan 4 Maktab SOAS Tahun 1976 oleh tetamu kehormat majlis, sebagai wadah untuk menghubungkan kembali rakan-rakan sekelas serta memudahkan komunikasi dan perancangan aktiviti bersama pada masa akan datang.
Perhimpunan berkenaan bukan sekadar sebuah Majlis Reunion, malah menjadi lambang persahabatan yang kekal merentasi zaman serta kesempatan untuk mengenang kembali perjalanan hidup yang telah dilalui sejak zaman persekolahan hingga ke hari ini.
Majlis berkenaan turut menjadi detik bermakna bagi para mantan penuntut untuk kembali bertemu selepas sekian lama terpisah, sekali gus mengimbau kenangan bersama sebagai sebahagian daripada kumpulan Form 4 SOASC, Class of '76.