PGGMB adakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad

12 Sep 2026 - 5:14am

Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 11 September. - Bagi memperingati dan membesarkan Sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan Penyampaian Derma Kebajikan PGGMB 1448H/2026M, berlangsung di Ibu Pejabat, PGGMB.

 

Majlis yang dikendalikan oleh Badan Agama dan Badan Kebajikan PGGMB itu diadakan sebagai salah satu usaha untuk menyemarakkan lagi Sambutan Maulidur Rasul, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli PGGMB. 

 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri.

 

Turut hadir ialah Jawatankuasa Tadbir Tertinggi, Jawatankuasa Tadbir, Jawatankuasa Bahagian Agama, Bahagian Kebajikan dan Ahli-ahli PGGMB.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pengerusi Bahagian Keagamaan PGGMB, Pengiran Haji Hamzah bin Pengiran Haji Mohammad.

 

Majlis kemudiannya diteruskan dengan Ceramah Khas yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk, bertajuk ‘Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Aqidah’.

 

Antara inti pati ceramah tersebut ialah pentingnya umat Islam sentiasa mengingati dan menyemarakkan Sambutan Hari Kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping mengamalkan ajaran dan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.

 

Dr. Haji Mohammad Shahrol Azmi turut menekankan kepentingan memahami, mempertahankan dan memelihara aqidah yang diamalkan, selain memperbanyakkan selawat serta sentiasa mengingati Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

 

Majlis turut diserikan dengan persembahan Selawat Badariah, diikuti dengan penyampaian derma kebajikan dan cenderamata, persembahan dikir serta bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan.

 

Seramai 33 orang Ahli PGGMB menerima derma kebajikan pada majlis berkenaan.

 

Penyampaian derma tersebut merupakan antara tanggungjawab sosial korporat PGGMB dalam menyantuni ahli-ahlinya yang mengalami kehilangan ibu bapa, ibu bapa mertua dan anak, selain bagi meraikan perkahwinan ahli serta anak-anak Ahli PGGMB.

 

Inisiatif tersebut diharap akan dapat meringankan beban ahli-ahli yang berkenaan, di samping mencerminkan keprihatinan PGGMB terhadap kebajikan dan kesejahteraan para ahlinya.