PGGMB adakan sesi persiapan akhir delegasi ke Konvensyen ACT+1 Ke-40

17 Okt 2026 - 5:47am

Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 16 Oktober. - Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) mengadakan sesi taklimat persiapan akhir bagi delegasi persatuan berkenaan yang akan menghadiri 40th ASEAN Council of Teachers (ACT+1) Convention di Republik Singapura, pada 23 hingga 25 Oktober 2026.

Sesi berkenaan bertujuan memastikan semua delegasi bersedia dari segi penyediaan kertas kerja, penyertaan dalam persidangan serta penglibatan dalam acara kebudayaan yang akan mewakili PGGMB.

Sesi persiapan tersebut dipengerusikan oleh Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri, manakala hal ehwal persidangan disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Agung (Luar Negeri), Awang Haji Yahya bin Haji Mirasan.

Taklimat turut menyentuh persiapan penyediaan kertas kerja utama, iaitu Country Report dan Parallel Session Report, selain persediaan bagi persembahan kebudayaan (Cultural Show) yang akan dipersembahkan oleh delegasi PGGMB.

Persidangan berkenaan dijadualkan merangkumi Sesi Pendaftaran, Leaders Meeting, Welcoming Dinner, Majlis Pembukaan, pembentangan Country Report, sesi Parallel Session, Penandatanganan Resolusi oleh ketua-ketua delegasi serta Majlis Penutup. Persidangan juga akan diakhiri dengan penyerahan bendera ACT+1 kepada negara tuan rumah bagi tahun 2027.

Sementara itu, Pengurus PGGMB Travel Services (PTS) turut memberikan penerangan mengenai urusan penerbangan, penginapan, persiapan sepanjang persidangan serta penyelarasan persembahan kebudayaan bagi memastikan kelancaran penyertaan delegasi.

Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa berharap penyertaan dalam Konvensyen ACT+1 berkenaan akan memberikan pelbagai pengalaman, meningkatkan kemahiran serta menambah pengetahuan para delegasi PGGMB.

Beliau juga berharap penyertaan tersebut akan membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan pengalaman serta memperkukuh hubungan kerjasama dalam kalangan warga pendidik dari negara-negara ASEAN.