Siaran Akhbar dan Foto : Kumpulan Ihsan37
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 September. - Majlis Pelancaran Awal dan Penyerahan Platform IhsanBN telah diadakan pada hari ini di Dewan Ittisal, Institut Perkhidmatan Awam (IPA).
Majlis berkenaan menandakan pelaksanaan satu inisiatif Kumpulan Ihsan37, yang terdiri daripada peserta Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan Kohort Ke-37 (EDPMMO-37) di bawah inisiatif Community Outreach Project.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan pelancaran awal platform berkenaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, juga Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong.
IhsanBN merupakan sebuah inisiatif di bawah Projek Jangkauan Komuniti (Community Outreach Project) Kumpulan Ihsan37 yang dibangunkan sebagai platform berpusat bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai kutipan derma yang sah serta saluran bantuan komuniti yang boleh dipercayai. Platform berkenaan nanti akan dapat diakses oleh orang ramai pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Berteraskan aspirasi ‘Semak, Yakin, Bantu’, platform berkenaan dihasratkan untuk meningkatkan ketelusan, memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap aktiviti kebajikan serta mengurangkan risiko penipuan berkaitan kutipan derma.
Inisiatif berkenaan juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada penglibatan masyarakat yang lebih yakin, bertanggungjawab dan bermakna dalam menyumbang kepada kesejahteraan golongan yang memerlukan.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan Platform IhsanBN kepada Majlis Belia Brunei (MBB) bagi menyokong kesinambungan dan perkembangan platform. Penghargaan turut diberikan kepada TM Technology Sdn. Bhd. selaku rakan pembangunan platform dan Tech One Global Brunei selaku rakan strategik dalam memastikan kelestarian platform ini.
Majlis turut disokong oleh Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI).
Antara pengisian majlis ialah ucapan alu-aluan oleh Ketua Kumpulan Ihsan37, penyempurnaan pelancaran awal oleh tetamu kehormat majlis, tayangan video pengenalan dan kesedaran mengenai IhsanBN, penyerahan platform kepada MBB serta sesi bergambar ramai.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengarah IPA, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, para penaja, para peserta EDPMMO-37 serta ahli-ahli Kumpulan Ihsan37.