PPDB menahan 2 warga asing

18 Jul 2026 - 7:04am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

 

TUTONG, Jumaat, 17 Julai. - Berikutan maklumat yang diterima daripada orang awam mengenai kegiatan pencerobohan dan pencurian kayu gaharu secara haram di kawasan hutan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) baru-baru ini telah berjaya menahan dua orang warga asing dalam satu operasi khas di kawasan Kampung Sebatang Sentul.

Hasil operasi, dua suspek berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tutong untuk siasatan lanjut.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 27(1), Akta Perhutanan (Penggal 46) atas kesalahan pemilikan hasil hutan secara haram, kedua-dua suspek boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi BND50,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun.

PPDB amatlah memandang serius sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang khususnya yang melibatkan penerokaan, pencurian dan pencerobohan hutan secara haram.

Aktiviti sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang negara, malah boleh mengakibatkan kerosakan kepada ekosistem dan menjejaskan biodiversiti serta mengancam kelestarian khazanah alam semula jadi negara.

Sehubungan itu, PPDB akan terus mempertingkatkan rondaan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan, khususnya di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi, dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan.

PPDB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang awam atas kerjasama dan keprihatinan dalam menyalurkan maklumat yang membawa kepada kejayaan operasi ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat adalah diseru untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pencerobohan hutan, pencurian kayu gaharu atau aktiviti jenayah lain kepada PPDB. Setiap maklumat yang diterima akan diberi perhatian dan dikendalikan dengan penuh kerahsiaan.