PPDB teruskan tindakan tegas terhadap kegiatan curi kabel

18 Jul 2026 - 6:53am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 17 Julai. - Susulan daripada tangkapan tujuh warganegara tempatan pada awal Jun lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan curi kabel, pihak polis sekali lagi berjaya menahan beberapa individu lain berhubung kes-kes kecurian kabel yang berasingan.

Pada akhir Jun 2026, Daerah Polis Brunei-Muara telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara asing berumur 24 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun kerana disyaki mencuri kabel dan membeli dipercayai hasil kecurian.

Pada bulan Julai 2026, Daerah Polis Brunei-Muara juga telah menahan lima lelaki tempatan berusia di antara 23 hingga 47 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pencurian kabel dan air conditioning compressor di kawasan Kampung Lambak Kanan.

Pada waktu yang sama, Daerah Polis Belait telah menahan dua lelaki tempatan berumur 27 dan 36 tahun berhubung dengan kegiatan curi kabel di kawasan Kampung Panaga. Kes-kes tersebut sedang disiasat di bawah seksyen 379 dan 427B, Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 atas kesalahan mencuri dan merosakkan barang yang boleh menjejaskan perkhidmatan kepada orang ramai.

Pihak polis ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui talian kecemasan 993. Syarikat-syarikat kitar semula dan besi buruk hendaklah melaporkan kepada pihak berkuasa dengan segera sebarang penemuan atau transaksi yang mencurigakan, dan untuk tidak menerima barang-barang yang mencurigakan.

Tindakan sewajarnya akan diambil ke atas syarikat-syarikat yang didapati menerima barang curi tanpa mengambil langkah-langkah yang berpatutan.

Pihak polis turut menegaskan bahawa mana-mana individu yang menerima barang curi boleh didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan tidak melebihi tiga tahun, denda atau kedua-duanya dan jika barang curi tersebut terlibat dalam kerosakan kepada infrastruktur awam yang boleh menjejaskan perkhidmatan kepada orang ramai, maka penerima tersebut boleh dikenakan hukuman pemenjaraan yang boleh memanjang ke 10 tahun, denda atau kedua-duanya.