PPNBD adakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Keputeraan

15 Jul 2026 - 9:14am

Berita dan Foto : Ihsan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam

 

GADONG, Selasa, 14 Julai. - Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Tahun, di Balai Ibadat, Ibu Pejabat PPNBD, di sini.

Majlis tersebut diadakan sebagai tanda menjunjung kasih dan merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan, keafiatan serta kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan penuh hikmah, adil dan saksama.

Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib dan Sembahyang Sunat Hajat secara berjemaah, seterusnya diteruskan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran. Majlis kemudiannya disusuli dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua I PPNDB, Pengiran Dr. Haji Muhammad bin Pengiran Damit; Ketua Pesuruhjaya PPNDB, Awang Haji Junaidi bin Haji Hussin; Ahli-ahli Majlis Pengakap Kebangsaan, para Pesuruhjaya Pengakap, Penolong Pesuruhjaya Pengakap, pemimpin-pemimpin pengakap serta ahli-ahli pengakap dari seluruh negara.

Penganjuran majlis seumpama ini mencerminkan kesetiaan dan semangat patriotisme warga PPNBD dalam sama-sama menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di samping memupuk nilai kesyukuran, perpaduan dan kecintaan terhadap raja, agama dan negara.

Majlis berakhir dengan penuh khusyuk dan diharapkan agar keberkatan daripada majlis tersebut akan terus mengukuhkan semangat warga pengakap untuk terus berbakti kepada agama, raja dan negara selaras dengan Persetiaan dan Undang-undang Pengakap.