Berita dan Foto : Ihsan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 25 Ogos. - Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) mengadakan Majlis Penutup Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam setelah berlangsung selama 12 malam berturut-turut di Balai Ibadat PPNBD.
Majlis berkenaan merupakan kemuncak kepada program Dikir Maulud yang dianjurkan sebagai salah satu usaha PPNBD menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping memupuk kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga pengakap.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Dipertua PPNBD, ACP (B) Haji Abdul Murad bin Haji Abdul Hadi.
Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua I PPNBD, Pengiran Dr. Haji Mohamed bin Pengiran Haji Damit; Timbalan Yang Dipertua II PPNBD, Awang Julkarnain bin Haji Husin; Setiausaha Agung PPNBD, Pengiran Supri bin Pengiran Haji Hashim; dan Bendahari Agung PPNBD, Skip Rostini binti Major (B) Haji Suhaili.
Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Brunei Darussalam, Awang Haji Junaidi bin Haji Hussin, serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Lt. Kol. (B) Ramli bin Abdul Hadis.
Majlis turut disertai para Pesuruhjaya Ibu Pejabat, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Daerah, Penolong-penolong Pesuruhjaya Daerah, pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli pengakap dari seluruh negara.
Majlis dimulakan dengan bacaan Dikir Maulud yang dipimpin oleh warga pengakap, diikuti dengan bacaan doa serta acara-acara keagamaan yang berkaitan.
Penganjuran Dikir Maulud selama 12 malam berturut-turut mencerminkan komitmen PPNBD dalam menghidupkan amalan keagamaan, di samping membentuk warga pengakap yang bukan sahaja aktif dalam kegiatan kepengakapan, malah mempunyai jati diri, akhlak dan nilai-nilai murni berlandaskan ajaran Islam.
Program berkenaan turut menjadi wadah dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara barisan kepimpinan, pesuruhjaya, pemimpin dan ahli-ahli pengakap, selaras dengan semangat persaudaraan dan kebersamaan yang menjadi antara nilai penting dalam pergerakan pengakap.
Majlis penutup diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan jamuan, sekali gus menandakan berakhirnya rangkaian Dikir Maulud PPNBD yang telah berlangsung selama 12 malam berturut-turut.