Siaran Akhbar dan Foto : Bank Baiduri
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Oktober. - Bank Baiduri mengumumkan kejayaan penetapan harga bagi terbitan sulung nota tanpa cagaran kanan bernilai SGD280 juta dengan tempoh matang tiga tahun pada 2029 (Nota), di bawah Euro Medium Term Note Programme (Program EMTN) bernilai USD2 bilion milik bank berkenaan.
Ditubuhkan pada 5 Oktober 2026, Program EMTN berkenaan menyediakan platform kepada bank berkenaan untuk mengakses pasaran modal hutang antarabangsa, di samping menyokong matlamat jangka panjangnya untuk mempelbagaikan sumber pembiayaan. Nota berkenaan menawarkan kadar faedah tetap sebanyak 2.95 peratus setahun.
Terbitan berkenaan menandakan penyertaan sulung Bank Baiduri dalam pasaran bon antarabangsa, sekali gus menjadi langkah penting dalam perkembangan bank berkenaan serta kemajuan berterusan sektor kewangan Negara Brunei Darussalam (NBD).
Nota berkenaan dijangka diterbitkan pada 26 Oktober 2026, dengan permohonan akan dibuat bagi menyenaraikannya di Singapore Exchange Securities Trading Limited (SGX-ST). United Overseas Bank Limited (UOB) bertindak sebagai pengurus utama tunggal dan pengurus buku bagi terbitan berkenaan, meneruskan peranannya sebagai pengatur tunggal dan peniaga bagi Program EMTN Bank Baiduri.
Terbitan berkenaan menerima sambutan menggalakkan daripada pelabur institusi, dengan jumlah pesanan melebihi SGD400 juta daripada 18 akaun pelabur. Peruntukan akhir terdiri daripada 62 peratus kepada pengurus dana, syarikat insurans dan agensi, manakala 38 peratus lagi kepada bank dan bank swasta.
Dari segi geografi, sebanyak 79 peratus Nota diperuntukkan kepada pelabur di Republik Singapura, manakala baki 21 peratus kepada pelabur di luar Republik Singapura.
Bagi Bank Baiduri, kepentingan terbitan berkenaan bukan sekadar penerbitan bon semata-mata. Penyertaan dalam pasaran bon antarabangsa memperluas sumber pembiayaan bank berkenaan serta meningkatkan fleksibiliti kewangannya bagi menyokong pertumbuhan yang mampan.
Permintaan kukuh terhadap terbitan berkenaan turut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas kewangan bank berkenaan, di samping memperkenalkan profil kreditnya kepada kelompok pelabur antarabangsa yang lebih luas.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui, berkata terbitan bon sulung berkenaan merupakan pencapaian penting bagi pihak bank, yang menandakan penyertaan pertamanya dalam pasaran bon antarabangsa serta satu pencapaian utama dalam usaha mempelbagaikan sumber pembiayaannya.
“Sebagai institusi pertama dari NBD yang melaksanakan terbitan seumpama ini, kami berjaya memperluas sumber pembiayaan serta meningkatkan fleksibiliti kewangan bagi menyokong pertumbuhan yang mampan.
“Sambutan kukuh daripada pelabur mencerminkan keyakinan terhadap asas kewangan bank dan hala tuju strategik jangka panjang kami,” ujarnya.
Terbitan berkenaan turut memperkukuh penglibatan Bank Baiduri yang semakin berkembang dalam pasaran kewangan Republik Singapura. Sebelum terbitan berkenaan dilaksanakan, pihak pengurusan kanan bank berkenaan telah mengadakan lawatan ke SGX bagi mempererat hubungan dengan ekosistem pasaran modal Republik Singapura.
Usaha berkenaan menyusuli penubuhan Pejabat Perwakilan Bank Baiduri di Republik Singapura pada 2025 sebagai sebahagian daripada inisiatif bank berkenaan untuk memperkukuh hubungan serantau.
Sementara itu, Ketua Perbankan Pelaburan Kumpulan UOB, Samuel Tan, berkata urus niaga bersejarah berkenaan menandakan satu pencapaian penting bagi Bank Baiduri dan sektor kewangan NBD.
Menurutnya, sejak penubuhan Program EMTN hingga pelaksanaan terbitan sulung berkenaan, UOB telah bekerjasama rapat dengan Bank Baiduri untuk memperluas pilihan pembiayaannya serta menghubungkan bank berkenaan dengan rangkaian pelabur institusi yang lebih luas.
Tambahnya lagi, sambutan kukuh daripada pelabur menunjukkan peluang yang semakin berkembang bagi penerbit dari ASEAN untuk mengakses pasaran modal antarabangsa, sekali gus memperkukuh peranan Republik Singapura sebagai hab pasaran modal utama bagi rantau ini.
“Kami berbesar hati kerana dapat menyokong Bank Baiduri dalam urus niaga penting ini dan berharap dapat terus menyokong aspirasi bank berkenaan dalam pasaran modal pada masa hadapan,” ujarnya lagi.
Terbitan sulung berkenaan menandakan fasa baharu dalam perkembangan Bank Baiduri, dengan memperluas aksesnya kepada pelabur antarabangsa serta menyediakan platform bagi penyertaan dalam pasaran modal pada masa hadapan.
Lebih daripada sekadar pencapaian bagi Bank Baiduri, urus niaga berkenaan turut membawa kepentingan yang lebih luas kepada sektor kewangan NBD. Sebagai terbitan bon luar negara pertama oleh institusi kewangan NBD, langkah berkenaan merupakan detik penting bagi Bank Baiduri dan perkembangan berterusan sektor kewangan negara, di samping memperkukuh peranannya dalam meningkatkan kehadiran NBD dalam pasaran kewangan serantau dan antarabangsa.