Siaran Akhbar : Jabatan Penerangan
Foto : Azamah Haji Ahad, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BERAKAS, Khamis, 10 September. - Program Literasi Penerangan (PLP) bagi belia Daerah Temburong menutup tirainya petang tadi di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil.
Majlis Penyampaian Sijil telah disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Awang Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar.
Program kali ini disertai oleh 18 peserta daripada belia Daerah Temburong yang terdiri daripada belia mukim dan kampung.
Atur cara program hari kedua dimulakan dengan lawatan ke Pusat Pembangunan Belia (PPB). Sementara itu, taklimat mengenai Jenayah Siber, Scammer dan Keldai Akaun yang dikendalikan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei menekankan dua isu utama yang sering menyasarkan golongan belia, iaitu penipuan dalam talian (online scam) dan penyalahgunaan akaun bank atau kad SIM sebagai ‘keldai akaun’.
Pada sebelah petang pula, para peserta mengadakan lawatan ke Heritage Bakwa Company, dan para peserta berpeluang mendengarkan taklimat mengenai latar belakang penubuhan, perkembangan terkini serta perancangan syarikat.
PLP merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan yang menggunakan pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government.
Program berkenaan dihasratkan untuk melahirkan para belia berwawasan, mempunyai jati diri yang kukuh serta memiliki nilai luhur dan semangat cintakan agama, bangsa dan negara, di samping memupuk rasa tanggungjawab ke arah memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai dengan jayanya.