Projek Penanaman Pokok Badas UBD terima pengiktirafan serantau

11 Sep 2026 - 6:15am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam

QUEZON CITY, REPUBLIK FILIPINA, 10 September. - Projek Penanaman Pokok Badas Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menerima pengiktirafan serantau sebagai ASEAN Green Initiative (AGI) di bawah Medium-Scale Category, atas sumbangannya terhadap pemulihan ekosistem dan pemuliharaan biodiversiti di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Pengiktirafan berkenaan disampaikan pada 2nd ASEAN Green Initiative Recognition Event, yang diadakan bersempena dengan ASEAN Heritage Parks Forum 2026 di Quezon City, Republik Filipina.

Diterajui oleh Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar (IBER), UBD, Projek Penanaman Pokok Badas telah diiktiraf oleh ASEAN Centre for Biodiversity (ACB) yang memuji projek berkenaan kerana memperlihatkan nilai tindakan secara kolaboratif dan diterajui oleh komuniti setempat dalam menangani cabaran alam sekitar, selain menyumbang kepada pemulihan ekosistem dan pemuliharaan biodiversiti di rantau ASEAN.

AGI merupakan program serantau ASEAN yang menyasarkan penanaman sekurang-kurangnya 10 juta batang pokok asli di seluruh Negara-negara Anggota ASEAN dalam tempoh 10 tahun, sebagai sokongan kepada Dekad Pemulihan Ekosistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021-2030.

Inisiatif berkenaan mengiktiraf usaha-usaha cemerlang dalam pemulihan ekosistem di seluruh Asia Tenggara, di samping menggalakkan pemulihan ekosistem melalui penanaman pokok asli serta pendekatan berasaskan sains dan pengetahuan.

Pengarah IBER, Profesor Madya Dr. Rahayu Sukmaria Sukri, selaku Ketua Projek Penanaman Pokok Badas, mewakili UBD untuk menerima pengiktirafan berkenaan bagi pihak pasukan projek.

Ditubuhkan sebagai inisiatif pemulihan jangka panjang berasaskan sains, Projek Penanaman Pokok Badas bertujuan untuk memulihkan kawasan hutan paya gambut yang merosot di Badas, Daerah Belait melalui pendekatan secara kolaboratif dan dipacu oleh masyarakat, di samping menghasilkan pengetahuan saintifik bagi menyokong usaha pemulihan pada masa hadapan di NBD.

Sejak 2021, Projek Penanaman Pokok Badas telah menanam 535 anak pokok daripada dua spesies pokok paya gambut asli yang terancam di peringkat global, iaitu Rubroshorea albida, yang dikenali sebagai Alan, dan Dryobalanops Rappa, yang dikenali sebagai Kapur Paya.

Projek berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, NBD; Brunei Shell Petroleum Co. Sdn. Bhd. (BSP) dan Nanyang Technological University (NTU), Republik Singapura.

Pemulihan kawasan tanah gambut yang merosot amat penting dalam meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim, memandangkan kawasan tanah gambut yang masih terpelihara mampu menyimpan sejumlah besar karbon serta mengurangkan risiko kebakaran gambut yang berbahaya.

Pengiktirafan ASEAN Green Initiative bagi Projek Penanaman Pokok Badas menyerlahkan komitmen UBD dalam menterjemahkan hasil penyelidikan biodiversiti kepada tindakan pemuliharaan secara praktikal serta manfaat nyata kepada masyarakat.

Projek berkenaan juga merupakan salah satu manifestasi Pelan Induk Kelestarian UBD (Sustainability Masterplan) yang komited untuk memperluas usaha kelestarian universiti melangkaui kampus melalui kerjasama dengan kementerian, pihak industri dan masyarakat setempat.

Menurut Profesor Madya Dr. Rahayu Sukmaria Sukri, pengiktirafan berkenaan mencerminkan usaha kolektif para penyelidik, rakan kerjasama dan sukarelawan yang telah menggerakkan Projek Penanaman Pokok Badas selama ini.

Lebih penting lagi katanya, ia mengukuhkan nilai usaha pemulihan ekosistem di lapangan yang melangkaui penanaman pokok secara konvensional, dengan menggabungkan penyelidikan dan pemantauan saintifik jangka panjang bersama pemuliharaan biodiversiti, tindakan iklim dan penglibatan komuniti.

Pendekatan kolaboratif projek berkenaan turut melibatkan lebih 391 sukarelawan, terdiri daripada pihak berkepentingan, sekolah, komuniti akar umbi dan orang ramai. Penglibatan berkenaan membuktikan peranan penting kerjasama dan penyertaan komuniti dalam menyokong usaha pemulihan ekosistem secara berterusan dan jangka panjang.

Tapak-tapak pemulihan projek berkenaan turut berfungsi sebagai makmal hidup, membolehkan para penyelidik memantau kadar kelangsungan hidup dan pertumbuhan anak-anak pokok yang ditanam, sekali gus menghasilkan bukti saintifik bagi menambah baik pendekatan dalam memulihkan kawasan hutan paya gambut yang merosot.

Pengiktirafan ASEAN Green Initiative berkenaan merupakan satu pencapaian penting bagi Projek Penanaman Pokok Badas dan menempatkan usaha pemulihan UBD sebaris dengan inisiatif pemulihan ekosistem unggul lain dari seluruh ASEAN.

Kejayaan projek berkenaan mengukuhkan kepentingan menggabungkan penyelidikan saintifik jangka panjang dengan penglibatan masyarakat dan kerjasama pelbagai pihak dalam menyokong keutamaan NBD bagi memulihkan ekosistem yang merosot, memperkukuh daya tahan terhadap perubahan iklim serta memulihara biodiversiti asli.