Projek sumbangan mikro perkukuh sokongan kepada TABP

11 Sep 2026 - 6:07am

Siaran Akhbar dan Foto : Kumpulan Sinar Hayat

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 September. - Kumpulan Sinar Hayat, yang terdiri daripada pegawai-pegawai Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) Kohort Ke-37 yang dikendalikan oleh Institut Perkhidmatan Awam (IPA), telah menyerahkan buku Implementation Guide and Checklist serta poster kesedaran bagi Project Lestari Harapan kepada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat Khas, Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Dayang Siti Ajar binti Haji Yusop.

Majlis penyerahan berkenaan telah diadakan di Kementerian Kesihatan.

Project Lestari Harapan, bertemakan 'Dari Pemberian Berkala Kepada Keprihatinan Lestari', merupakan Projek Jangkauan Komuniti (Community Outreach Project-COP) Kumpulan Sinar Hayat di bawah Program EDPMMO Kohort Ke-37.

Projek berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Unit Kerja Sosial Perubatan, Kementerian Kesihatan, bagi memperkukuh sokongan kepada Tabung Amal Bantuan Pesakit (TABP) melalui pendekatan sumbangan mikro yang lebih mudah, mudah diakses dan mampan.

Salah satu objektif utama projek berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kewujudan serta peranan TABP dalam membantu pesakit yang memerlukan. Selain itu, projek berkenaan juga memperkenalkan kaedah sumbangan yang lebih mudah melalui aplikasi perbankan dan penggunaan Kod QR bagi memudahkan orang ramai membuat sumbangan kepada TABP.

Pendekatan berkenaan diharapkan dapat menggalakkan budaya menyumbang secara lebih konsisten serta membantu mewujudkan sumber sumbangan yang berterusan untuk menyokong keperluan pesakit.

Sehubungan itu, Kumpulan Sinar Hayat turut menyerahkan poster kesedaran Project Lestari Harapan yang disediakan selaras dengan Implementation Guide and Checklist. Poster berkenaan merupakan salah satu bahan komunikasi dan promosi yang boleh digunakan oleh Kementerian Kesihatan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai TABP, selain memudahkan akses kepada maklumat dan saluran sumbangan melalui Kod QR yang disediakan.

Buku Implementation Guide and Checklist pula bertujuan menjadi panduan bagi memastikan kelestarian dan kesinambungan Project Lestari Harapan selepas tamatnya Program EDPMMO Kohort Ke-37 pada 2026.

Buku panduan berkenaan akan menjadi rujukan kepada Kementerian Kesihatan dalam melaksanakan, menyelaras dan memantau inisiatif-inisiatif yang telah diperkenalkan, termasuk penggunaan dan penempatan bahan-bahan kesedaran berkaitan projek.

Dengan adanya panduan dan bahan kesedaran berkenaan, pelaksanaan inisiatif Project Lestari Harapan dapat diteruskan secara lebih teratur, konsisten dan berkesinambungan, selaras dengan keperluan serta objektif yang telah ditetapkan.

Penyerahan berkenaan mencerminkan komitmen Kumpulan Sinar Hayat untuk memastikan Project Lestari Harapan dapat diteruskan secara berterusan, sekali gus memperkukuh sokongan kepada TABP dan manfaatnya kepada pesakit yang memerlukan.