Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Hal Ehwal Masjid
BELAIT, Ahad, 12 Julai. - Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Zainab, Lumut, Daerah Belait dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait telah mengadakan Bengkel Tajwid Bersama Al-Quran bagi ahli jawatankuasa takmir, Muslimah dan jemaah masjid berlangsung di masjid berkenaan.
Bengkel ini merupakan antara usaha JHEM untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran masyarakat dalam membaca Al-Quran mengikut hukum tajwid yang betul.
Program ini juga bertujuan memupuk minat peserta untuk memperbaiki bacaan Al-Quran serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Antara objektif utama bengkel ini ialah untuk mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir dan melahirkan masyarakat yang celik Al-Quran.
Selain itu, bengkel ini turut memberikan pendedahan mengenai asas ilmu tajwid, meningkatkan keyakinan peserta dalam membaca Al-Quran secara ber’talaqqi’, memupuk budaya mencintai ilmu Al-Quran serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta.
Bengkel yang membawa tema ‘Bacaan Betul, Hati Tenang’ ini disertai oleh ahli jawatankuasa takmir masjid, Muslimah dan jemaah masjid. Program diisikan dengan slot pengenalan ilmu tajwid, praktikal tajwid, bacaan Al-Quran secara bertajwid serta sesi soal jawab yang dikendalikan oleh Awang Haji Md. Daud bin Haji Abd. Kadir.
Melalui penganjuran bengkel ini, diharapkan para peserta akan lebih mahir membaca Al-Quran dengan sebutan dan hukum tajwid yang betul, seterusnya menjadikan amalan membaca Al-Quran sebagai budaya hidup yang berterusan serta mengukuhkan peranan masjid sebagai pusat ilmu dan penyebaran dakwah kepada masyarakat.