Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Ahad, 11 Oktober. - Program Riadahmas 2026 menjadi platform bagi menggalakkan warga emas di negara ini mengamalkan gaya hidup sihat, selain mengeratkan hubungan silaturahim dan meningkatkan kesejahteraan komuniti warga emas.
Program anjuran bersama Pertubuhan WARGAMAS dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu diadakan sempena sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE) 2026 di kawasan letak kereta VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, dan isteri.
Yang Dipertua Pertubuhan WARGAMAS, Awang Haji Abu Bakar bin Haji Mohd. Don, berkata program berkenaan menyokong usaha kerajaan dalam menjayakan Pelan Tindakan Ke Arah Penuaan Berjaya 2025-2030 yang diterajui Kementerian Kesihatan dan KKBS, selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Menurutnya, program berkenaan adalah penganjuran kali kedua diadakan secara bersama antara Pertubuhan WARGAMAS dan JAPEM selepas kejayaan Walkatonmas pada 2025.
Beliau berkata, Riadahmas bukan sahaja memberi peluang kepada warga emas untuk melakukan aktiviti fizikal, malah menjadi wadah memperkukuh kerjasama antara Pertubuhan WARGAMAS sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan JAPEM termasuk pusat-pusat kegiatan warga emas di seluruh negara.
Menurutnya lagi, antara aktiviti yang disediakan ialah demonstrasi silat sebagai riadah mempertahankan diri, senamrobik menerusi program REST (Resistance, Strength and Balance Training) menggunakan kaedah 'Muslim Prayer' serta sukan ria atau telematch.
Aktiviti senaman berkenaan dikendalikan oleh Dayang Sharimawati binti Haji Sharbini bersama kumpulan dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Aktiviti telematch yang dikendalikan syarikat Omni pula tambah beliau, bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah antara Ahli Pertubuhan WARGAMAS dengan warga emas dari pusat-pusat kegiatan di bawah JAPEM, di samping menggalakkan persaingan sihat serta menguji keupayaan fizikal dan mental peserta.
Awang Haji Abu Bakar turut menekankan kepentingan warga emas mengekalkan kesihatan fizikal dan kecergasan minda bagi menjalani kehidupan yang aktif, positif dan sejahtera.
Sementara itu, Biro Ekonomi Pertubuhan WARGAMAS juga mengambil inisiatif dengan menjual pelbagai makanan dan minuman bagi menyokong usaha menjana kegiatan ekonomi warga emas serta mengetengahkan pengalaman mereka dalam penyediaan pelbagai hidangan.
Sambutan HAWE 2026 yang jatuh pada 1 Oktober lalu bertemakan 'Ke Arah Penuaan Berjaya'.
Sempena sambutan berkenaan, beberapa mercu tanda utama negara diterangi cahaya kuning keemasan sebagai simbol usia emas, kekayaan pengalaman dan sumber pengetahuan warga emas yang boleh dimanfaatkan oleh semua generasi.
Warga emas diharapkan terus menjadi teladan kepada generasi muda dan kanak-kanak, seterusnya menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang sihat, bersatu padu dan sejahtera.