Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin
TUTONG, Rabu, 19 Ogos. - Dalam Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2006, telah menekankan Landskap Sekuriti Rantau dan Antarabangsa yang semakin tidak menentu. Ia juga turut memberi kesan kepada negara.
Selaku negara berdaulat, untuk memiliki kekuatan tentera tidaklah boleh dipandang ringan. Selain kekuatan diplomasi, sistem pertahanan yang kukuh juga adalah menjadi keutamaan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian pada Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Jubli Emas Rejimen Pasukan Khas Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (RPK ABDB) yang berlangsung di Penanjong Garison, pagi tadi, di sini."Beta ingin melihat RPK ABDB mengambil peluang melalui hubungan diplomasi dengan negara-negara lain untuk menggunakan teknologi terkini dalam bidang ketenteraan. Beta juga bangga dengan penglibatan RPK ABDB dalam perlawanan-perlawanan pasukan khas di luar negara. Hendaknya dari perlawanan-perlawanan ini RPK ABDB akan dapat mencapai keupayaan, setanding dengan pasukan-pasukan antarabangsa,"tegas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam lagi.Terdahulu dalam titah, baginda melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadir untuk meraikan Sambutan Jubli Emas Penubuhan RPK ABDB."Pasukan bermula pada tahun 1976 cuma seramai 24 anak tempatan sahaja. ‘River Squadron’ terus berkembang sehingga menjadi sebuah pasukan elit. Beta gembira menyaksikan perbarisan RPK ABDB pagi ini, dalam usianya mencecah setengah abad," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia lagi.
Mengambil sukut baik hari yang bersejarah ini, baginda dengan sukacita bertitah mengurniakan Pingat Jubli Emas RRPK ABDB kepada semua anggota RPK yang masih berkhidmat.