Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Brunei dan Muara
MULAUT, Isnin, 13 Julai. - Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) melalui Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan telah mengeluarkan tawaran kompaun di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30), ke atas sebuah syarikat kerana didapati membuang sampah secara tidak teratur di kawasan Kampung Mulaut, Mukim Kilanas.
Syarikat tersebut ialah Payara Sdn. Bhd. dan dikena kompaun sebanyak BND500 atas kesalahan Bab 12(1)(a). Syarikat tersebut telah diambil tindakan kompaun dan diarahkan untuk menjelaskan kompaun dalam masa 7 hari.
Jika gagal, kes akan dibawa ke mahkamah di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30) iaitu sabit kesalahan boleh membawa hukuman tidak melebihi BND30,000 bagi syarikat atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Pihak JDBM juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai pembuangan sampah yang menyalahi undang-undang dengan menyertakan alamat lokasi berserta gambar-gambar melalui pesanan WhatsApp +673 8321581.