Semarakkan kecintaan terhadap Rasulullah

21 Og 2026 - 7:08am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 Ogos. - Semangat memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam terus disemarakkan menerusi Majlis Maulidur Rasul EX-HBG 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang dianjurkan bersama oleh Kumpulan Bekas Penuntut Asrama Maktab Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien (EX-Hostel Boys Group).

Majlis yang berlangsung di Rasa Ceria Cafe, Bangunan HAD, Telanai Avenue itu menjadi wadah bagi para bekas penuntut untuk mengeratkan kembali silaturahim, di samping memperkukuh kecintaan terhadap Rasulullah serta menghayati ajaran dan sunnah Baginda.

Pengerusi majlis, Awang Haji Manaf bin Haji Nawi dalam ucapannya menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat, taufik dan hidayah-Nya, majlis berkenaan dapat diadakan dalam suasana penuh keberkatan.

Awang Haji Manaf turut mengalu-alukan kehadiran para jemputan serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan majlis berkenaan.

Menurutnya, Sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar memperingati kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam malah menjadi kesempatan untuk mengenang perjuangan, pengorbanan dan sunnah Baginda sebagai pedoman dalam kehidupan seharian.

“Keperibadian Baginda yang penuh dengan sifat amanah, sabar, penyayang dan pemaaf hendaklah kita jadikan teladan dalam kehidupan, sama ada dalam keluarga, masyarakat mahupun dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” jelasnya.

Beliau seterusnya menyeru para hadirin agar memperbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad, di samping mengambil iktibar daripada sirah dan ajaran Baginda dengan menterjemahkan kecintaan kepada Rasulullah melalui amal ibadah, akhlak mulia, hubungan sesama manusia serta kepatuhan kepada ajaran Islam.

Majlis turut diserikan dengan ceramah khas bertajuk 'Keutamaan Bersedekah' yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak.

Dalam ceramahnya, Awang Abdul Rahman antara lain menjelaskan bahawa amalan bersedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang yang menghulurkannya, bahkan memperolehi ganjaran dan membawa keberkatan kepadanya.

Suasana majlis turut diimarahkan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, zikir dan selawat, selain persembahan nasyid yang menambahkan lagi kemeriahan sambutan.

Majlis berkenaan diharap terus menjadi wadah untuk menyemai rasa cinta kepada Rasulullah, memperkukuh ukhuwah sesama bekas penuntut serta mendorong masyarakat agar menghayati dan mengamalkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.