Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Buruh
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 Julai. - Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh Cawangan Daerah Belait telah menjalankan Operasi Usai 166/2026 dan 167/2026 di kawasan Seria pada 11 Julai 2026 bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, Penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.
Jabatan Buruh melalui pemeriksaan pertama yang dijalankan ke atas sebuah restoran telah mendapati sebanyak lima kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan terhadap pekerja-pekerja.
Kesalahan-kesalahan tersebut ialah BAB 39 Gagal membayar gaji pekerja dan lebihan masa; BAB 64 Gagal memberikan cuti rehat; BAB 65 Melebihi jam bekerja yang telah ditetapkan; BAB 70 Gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan dan BAB 112 Kesalahan melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing yang mana seorang pekerja asing bekerja dengan majikan lain daripada majikan yang sah.
Manakala melalui pemeriksaan kedua yang dijalankan ke atas sebuah pos sekuriti telah mendapati sebanyak empat kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan terhadap pekerja-pekerja.
Kesalahan-kesalahan tersebut ialah BAB 12 Membuat terma-terma kontrak perkhidmatan yang menyalahi undang-undang; BAB 39 Gagal membayar gaji pekerja dan lebihan masa; BAB 44 Membuat pemotongan gaji pekerja yang tidak dibenarkan dan BAB 65 Melebihi jam bekerja yang telah ditetapkan.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada BND1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti pembayaran gaji tepat pada waktunya, memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang telah diwartakan, memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan, dan memberikan hak cuti tahunan kepada pekerja serta membiayai tiket balik pekerja yang sudah tamat kontrak perkhidmatan.
Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian +673 2381848 (semasa waktu bekerja) atau +673 7298989 (di luar waktu bekerja).