Seorang warga asing ditahan terlibat pemasangan peranti skimming

22 Jul 2026 - 5:08am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 21 Julai. - Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara asing yang disyaki terlibat dalam pemasangan peranti skimming (skimming device) di mesin juruwang automatik (ATM) dalam negara.

Penahanan berkenaan dibuat baru-baru ini oleh pihak PDRM di Miri, Sarawak, berikutan laporan yang diterima oleh Balai Polis Bandar Seri Begawan daripada pihak bank berkenaan pada hari Ahad.

Suspek berkenaan seterusnya diserahkan kepada pihak PPDB bagi siasatan lanjut.

Suspek kini ditahan oleh pihak PPDB bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 5, Akta Penyalahgunaan Komputer, Penggal 194 (Computer Misuse Act, Chapter 194). Siasatan masih giat dijalankan bagi mengenal pasti tahap penglibatan suspek, kaedah yang digunakan serta kemungkinan penglibatan individu atau rangkaian lain dalam kegiatan berkenaan.

PPDB ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menggunakan ATM dengan membuat pemeriksaan ke atas bahagian slot kad dan papan kekunci bagi memastikan tiada peranti atau objek mencurigakan dipasang.

Orang ramai juga dinasihati untuk melindungi papan kekunci ketika memasukkan nombor pengenalan peribadi (PIN), di samping sentiasa memantau rekod transaksi dan baki akaun masing-masing.

Sekiranya mendapati sebarang peranti, objek atau aktiviti yang mencurigakan pada ATM, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan mesin atau menyentuh peranti berkenaan dan segera menghubungi pihak bank berkenaan dan membuat laporan kepada pihak PPDB di Talian Kecemasan Polis 993.

PPDB memandang serius sebarang kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan kewangan orang ramai dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat.