Siaran Akhbar dan Foto : Tabung Amanah Pekerja
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Julai. - Tabung Amanah Pekerja (TAP) meneruskan usaha jangkauan SE:TAPak, yang bertujuan untuk membantu individu bekerja sendiri memahami dengan lebih jelas mengenai Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) serta peranannya dalam menyokong keselamatan kewangan jangka panjang dan perancangan persaraan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan, wakil TAP telah mengadakan lawatan lapangan mulai hari Rabu, 8 Julai 2026 hingga hari Jumaat, 10 Julai 2026 ke para peniaga dan pengunjung di Festival Rasa Kitani yang berlangsung di Jerudong Park Garden.
Lawatan ini memberi tumpuan kepada penglibatan secara langsung dengan para peniaga festival makanan tempatan, yang merupakan sebahagian daripada golongan individu bekerja sendiri dan usahawan mikro yang semakin berkembang.
Sepanjang sesi tersebut, wakil TAP mendekati para peniaga di gerai masing-masing serta pengunjung untuk memberikan penerangan ringkas dan mudah difahami mengenai manfaat SPK Bekerja Sendiri (SE). Sesi ini juga memberi peluang kepada individu yang bekerja sendiri untuk mengemukakan soalan, mendapatkan penjelasan lanjut serta menerima panduan pendaftaran secara mudah dan praktikal.
SPK SE merupakan skim sukarela yang dikhususkan untuk membantu individu bekerja sendiri membina simpanan persaraan mereka. Tertakluk kepada kriteria kelayakan dan syarat-syarat tertentu, individu bekerja sendiri yang disahkan akan layak menerima manfaat caruman tambahan melalui Caruman Match-Up Kerajaan. Selain itu, skim ini juga turut menyediakan perlindungan kepada tanggungan ahli melalui manfaat turunan, sekali gus memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial bagi golongan individu bekerja sendiri.
Seiring dengan kepelbagaian bentuk pekerjaan masa kini, SPK SE merangkumi pelbagai jenis pekerjaan termasuk peniaga makanan, pekerja bebas, pekerja ‘gig’, penghantar, penjual dalam talian serta usahawan berasaskan rumah. Skim ini menawarkan fleksibiliti dalam caruman bagi membolehkan individu menyumbang mengikut tahap pendapatan masing-masing sambil memastikan simpanan berterusan ke arah keselamatan kewangan jangka panjang.
Inisiatif SE:TAPak mencerminkan komitmen berterusan TAP dalam memastikan perkhidmatannya lebih mudah diakses dengan pendekatan individu di lokasi mereka menjalankan perniagaan. Melalui pendekatan ini, TAP berhasrat untuk merapatkan jurang maklumat serta menggalakkan penyertaan yang lebih meluas dalam SPK SE.
TAP menggalakkan semua individu bekerja sendiri untuk mengetahui lebih lanjut mengenai SPK SE dan mengambil langkah proaktif dalam menjamin masa depan persaraan mereka.
SE:TAPak akan terus dilaksanakan di pelbagai daerah, acara dan lokasi perniagaan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha berterusan TAP untuk memperluaskan jangkauan kepada komuniti bekerja sendiri.