STAHB zahir kesyukuran, hargai kecemerlangan pelajar

15 Jul 2026 - 9:35am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Na’il Haris Haji Muhd. Nikman

BERAKAS, Selasa, 14 Julai. -  Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah (STAHB) hari ini meraikan seramai 296 pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) serta Brunei Cambridge GCE 'A' Level bagi 2025 pada Majlis Hafl Al-Takharruj yang diadakan di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 249 pelajar menerima Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB), manakala 42 pelajar menerima sijil Brunei Cambridge GCE 'A' Level. Sementara itu seramai lima pelajar yang mengambil jurusan Arab dan Umum menerima kedua-dua sijil peperiksaan awam berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, yang turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada para pelajar.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran berserta terjemahan, diikuti dengan Selawat Tafrijiyyah dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Lagu Rasmi Sekolah. 

Pengetua STAHB, Dayang Hajah Azizah binti Haji Mohamad, selaku Pengerusi Majlis dalam ucapan alu-aluannya berkata, dalam peperiksaan STPUB, seramai 254 pelajar, iaitu 98 peratus pelajar telah lulus, dengan 106 pelajar mendapat pangkat Mumtaz, 84 pelajar mendapat pangkat Jayyid Jiddan,  56 pelajar mendapat pangkat Jayyid dan empat pelajar mendapat pangkat Maqbul.

Manakala di dalam peperiksaan Brunei Cambridge 'A' Level tambahnya, semua pelajar lulus 100 peratus dengan 43 pelajar mendapat 3A kredit, tiga orang mendapat 2A kredit dan seorang mendapat 1A kredit. 

"InsyaaAllah, pihak Madrasah akan terus berusaha bagi meningkatkan kualiti pencapaian pelajar dengan membuat pelbagai inisiatif dengan sokongan dan kerjasama dari pelbagai pihak," ujarnya.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar atas pencapaian yang membanggakan berkenaan.

Kejayaan berkenaan tambahnya lagi adalah hasil usaha gigih, doa, sokongan ibu bapa, bimbingan para guru serta ketekunan anak-anak pelajar sendiri.

"Majlis ini bukan sahaja menandakan berakhirnya satu fasa penting dalam perjalanan pendidikan anak-anak, bahkan menjadi titik permulaan kepada sebuah perjalanan kehidupan yang lebih luas dan mencabar," ujarnya lagi.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video dan seterusnya penyampaian sijil serta hadiah kepada para penerima STPUB dan Brunei Cambridge GCE 'A' Level. 

Pada majlis berkenaan, seramai 12 pelajar turut menerima Hadiah Anugerah Khas dan seorang penerima Anugerah Pelajar Mithali.

Majlis Hafl Al-Takharruj berkenaan diadakan bagi memartabatkan serta memperkasa pendidikan Islam dan bahasa Arab di NBD.

Majlis berkenaan juga bertujuan untuk menzahirkan kesyukuran, menghargai kecemerlangan para pelajar, serta menjadi pemangkin kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan pada peringkat pengajian yang lebih tinggi.

Di samping itu, majlis berkenaan turut mendukung Wawasan Brunei 2035 ke arah melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.