Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei
LAMBAK, Selasa, 1 September. - Sekolah Tunas Jaya (STJ) PGGMB Lambak menerima kunjungan muhibah daripada Sekolah Chua Chu Kang, Singapura, yang disertai seramai 25 orang, terdiri daripada lima guru dan 20 murid, hari ini. Rombongan dari Singapura berkenaan diketuai oleh Timbalan Pengetua, Low Boon Hwee.
Kehadiran rombongan dialu-alukan oleh Yang Dipertua Persatuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), Awang Haji Mustapa bin Haji Masri; Guru Besar STJ Lambak, Dayang Noraidah binti Abdullah; Timbalan Setiausaha Agung (Luar Negeri), Awang Haji Yahya bin Haji Mirassan serta guru-guru dan murid-murid STJ Lambak.
Sepanjang kunjungan, rombongan diberikan taklimat mengenai pentadbiran dan pengurusan sekolah, kurikulum serta prestasi pencapaian akademik STJ Lambak oleh pihak pentadbiran sekolah.
Dalam pada itu, murid-murid Sekolah Chua Chu Kang turut berpeluang mengikuti sesi pembelajaran bersama murid-murid STJ Lambak mengikut kelas yang telah diaturkan.
Guru-guru dari Singapura pula dibawa melawat ke beberapa buah kelas serta berkesempatan menyaksikan aktiviti kegiatan kokurikulum (ECA) yang dijalankan di sekolah berkenaan.
Kunjungan tersebut kemudiannya diteruskan dengan Majlis Penutup yang dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, diikuti Lagu Kebangsaan Singapura dan lagu sekolah. STJ Lambak turut menyerikan majlis dengan beberapa persembahan tarian dan kebudayaan.
Kunjungan muhibah tersebut diharap dapat memberikan pengalaman baharu kepada murid-murid Sekolah Chua Chu Kang, di samping membuka ruang kepada mereka untuk memperoleh idea dan pengetahuan baharu melalui perkongsian pengalaman serta interaksi bersama warga STJ Lambak. Rombongan Sekolah Chua Chu Kang turut menyatakan harapan untuk berkunjung semula ke Negara Brunei Darussalam pada masa akan datang.