Teroka kerjasama praktikal menangani cabaran keselamatan serantau, global

18 Sep 2026 - 7:45am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pertahanan

BEIJING, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Khamis, 17 September. - Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof telah menghadiri Forum Xiangshan Beijing Ke-13 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Beijing pada 15 hingga 17 September 2026.

Turut menyertai delegasi tersebut ialah Komandan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), Leftenan Kolonel Pengiran Aeddie Masjaffrie bin Pengiran Haji Md. Ja'afar dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan.

Dianjurkan bersama oleh  China Association for Military Science  (CAMS) dan  China Institute for International Strategic Studies  (CIISS), forum pada tahun ini bertemakan  'Build Consensus on Stability, Advance Security Governance Together'.

Sesi Pembukaan Forum tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Nasional, Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Laksamana Dong Jun yang turut menyampaikan ucaptama.

Dalam ucaptamanya, Tuan Yang Terutama Laksamana Dong Jun menyeru agar kesepakatan dan kerjasama praktikal dalam tadbir urus keselamatan global terus diperkukuh. Beliau menekankan kepentingan dialog dan rundingan, multilateralisme, pembangunan bersama serta usaha secara kolektif untuk menangani cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional, termasuk cabaran yang timbul daripada teknologi baharu.

Hampir 100 delegasi rasmi dari negara, rantau dan pertubuhan antarabangsa, termasuk lebih 60 pegawai di peringkat menteri dan wakil ketenteraan kanan, telah menyertai forum tersebut bersama para pakar dan cendekiawan untuk membincangkan cabaran utama keselamatan di peringkat serantau dan global.

Program forum tersebut menampilkan empat sesi plenari dan lapan sesi selari yang antara lain memfokuskan perbincangan mengenai ketertiban antarabangsa dan kestabilan strategik; konflik setempat serta jalan ke arah penyelesaian; risiko dan cabaran terhadap keselamatan dan kestabilan di Asia-Pasifik; tadbir urus keselamatan maritim; serta aplikasi ketenteraan teknologi baharu.

Di samping forum tersebut, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II juga mengadakan mesyuarat dua hala bersama Tuan Yang Terutama Laksamana Dong Jun. Kedua-dua menteri mengesahkan semula hubungan pertahanan yang erat dan telah sekian lama terjalin  antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan serantau dan antarabangsa, serta membincangkan peluang untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan yang praktikal.

Kedua-dua menteri turut  menekankan kepentingan penglibatan berterusan melalui mekanisme yang diterajui ASEAN, khususnya Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus).

Ditubuhkan pada tahun 2006, Forum Xiangshan Beijing Ke-13 menandakan ulang tahun ke-20 pada tahun ini. Sepanjang dua dekad yang lalu, forum tersebut telah berkembang daripada sebuah pertukaran dalam kalangan badan pemikir pertahanan kepada sebuah platform antarabangsa utama bagi dialog keselamatan dan pertahanan.

Forum ini menyediakan wadah inklusif bagi pegawai kanan, institusi pertahanan, pertubuhan antarabangsa dan komuniti strategik untuk bertukar-tukar pandangan, membina persefahaman bersama serta meneroka kerjasama praktikal dalam menangani cabaran keselamatan serantau dan global yang semakin berkembang.