Siaran Akhbar dan Foto : Ocean Week Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Julai. - Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun, Ocean Week Brunei akan menempatkan sebanyak 240 ‘reef ball’ di Pelong Rocks, Jerudong dan Kuala Belait di bawah program baharu yang dinamakan Terumbu Dirgahayu, dengan slogan ‘Terumbu Kitani’.
Dianjurkan oleh Poni Foundation dengan sokongan Poni Group, inisiatif ini akan mewujudkan tiga terumbu tiruan sebagai simbolik, setiap satu terdiri daripada 80 ‘reef ball’ bagi melambangkan Ulang Tahun Hari Keputeraan. Terumbu-terumbu ini bertujuan untuk menyumbang semula kepada lautan dengan mewujudkan habitat ikan, menyokong penyelidikan saintifik serta memperkukuh komuniti nelayan di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Di Pelong Rocks, sebanyak 80 ‘reef ball’ akan ditempatkan di dalam Kawasan Perlindungan Marin (Marine Protected Area, MPA), NBD bagi menyokong pemulihan perikanan, pemulihan terumbu karang serta penyelidikan saintifik jangka panjang. Lokasi ini turut menempatkan sebuah Laut Midi Reef Ball yang mempunyai plak ditandatangani oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Majlis Sambutan Hari Raya anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun 2025.
Sebanyak 80 ‘reef ball’ lagi akan ditempatkan di perairan Jerudong dan 80 lagi di Kuala Belait. Kedua-dua lokasi ini terletak di luar MPA NBD dan disasarkan untuk berkembang menjadi kawasan penangkapan ikan baharu bagi komuniti setempat. Para nelayan dari kedua-dua kawasan akan dijemput menyertai proses penempatan ‘reef ball’ serta berkongsi pengetahuan mereka mengenai keadaan marin tempatan.
Operasi ini pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 15 Julai, namun kini dijangka dilaksanakan pada penghujung Julai, tertakluk kepada keadaan cuaca dan laut yang sesuai.
Unit terbesar yang dikenali sebagai Laut Midi Reef Ball mempunyai berat kira-kira satu tan dan berketinggian sekitar empat kaki. Direka khas untuk perairan NBD, Laut Midi merupakan reka bentuk ‘reef ball’ ke-13 yang dibangunkan di dunia. Bay Ball pula seberat sekitar 350 kilogram, Lo Pro Ball sekitar 180 kilogram, manakala Oyster Reef Ball yang lebih kecil mempunyai berat kira-kira 30 kilogram.
Unit-unit yang lebih besar akan diturunkan menggunakan kren daripada sebuah tongkang Landing Craft Tank (LCT), manakala ‘reef ball’ yang lebih kecil boleh ditempatkan secara manual. Poni Marine merupakan Kontraktor Marin Reef Ball yang diberi kuasa di NBD. Sehingga kini, lebih dua juta ‘reef ball’ telah ditempatkan oleh Reef Ball Foundation di lebih 80 buah negara.
Kebanyakan ‘reef ball’ telah dihasilkan pada tahun ini, manakala sebahagian lagi dibawa daripada pengeluaran tahun 2024. Ia dihasilkan oleh kakitangan Poni, pelajar sekolah, guru, golongan belia, nelayan, sukarelawan awam, pegawai Jabatan Perikanan, penaja Ocean Week Brunei serta kakitangan Hibiscus Petroleum, Brunei Energy Exploration dan Shell Deepwater. Beberapa unit turut disumbangkan oleh Jabatan Perikanan susulan Program Hari Nelayan pada tahun 2024.
Di bawah Program Terumbu Dirgahayu, penempatan ‘reef ball’ dirancang diadakan dua kali setahun, iaitu sempena Sambutan Hari Kebangsaan NBD dan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah DYMM. Program ini juga bertujuan mengenal pasti enam lagi lokasi baharu di kawasan pesisir pantai, teluk dan sungai di seluruh NBD.
Dalam jangka panjang, Program Terumbu Dirgahayu akan menjadi sebahagian daripada rangkaian lebih besar yang dikenali sebagai Brunei Living Reef Network, yang menghubungkan terumbu-terumbu tiruan bagi tujuan pemulihan perikanan, pencegahan pukat tunda, perlindungan pantai, pemulihan batu karang, penyelidikan serta penyertaan masyarakat.
Program Brunei Reef Ball juga merancang untuk mewujudkan sebuah tapak khas bagi penghasilan ‘reef ball’, di mana para sukarelawan boleh membantu menghasilkan ‘reef ball’ serta menanam batu karang sepanjang tahun. Program ini turut menyasarkan penciptaan peluang pekerjaan kepada masyarakat dalam pembuatan dan ‘reef ball’, di samping menyokong aplikasi yang lebih meluas dalam perlindungan pantai dan pemulihan ekosistem marin.
Inisiatif ini menunjukkan bagaimana Ocean Week Brunei dapat memperingati peristiwa-peristiwa penting negara melalui tindakan praktikal dan berimpak jangka panjang yang menghimpunkan kerajaan, penaja, penyelidik, sekolah, golongan belia, sukarelawan dan para nelayan.
Dengan sokongan yang berterusan, Program Terumbu Dirgahayu berpotensi berkembang daripada satu projek penempatan kepada sebuah program terumbu negara yang berkekalan, yang akan terus menyokong ekosistem marin NBD, memperkaya pengetahuan saintifik serta memperkukuh komuniti nelayan untuk generasi akan datang.