Terus membina sebuah negara mempunyai ekonomi lebih kukuh

11 Og 2026 - 9:12am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. – Dalam Perbahasan Usul, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lau How Teck pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, menjelaskan, sepanjang persidangan, Yang Berhormat berpeluang mendengar pelbagai pandangan serta penjelasan yang telah dikongsikan oleh rakan Ahli-ahli Majlis Yang Berhormat dan Yang Berhormat Menteri-menteri.

Bagi Yang Berhormat, walaupun isu yang dibincangkan meliputi pelbagai bidang, kesemuanya sebenarnya membawa kepada satu matlamat yang sama, iaitu bagaimana kita dapat terus membina sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang lebih kukuh, masyarakat yang lebih sejahtera dan masa depan yang terbaik untuk negara dan rakyat.

"Setiap perbahasan, sama ada mengenai pendidikan, infrastruktur, kesihatan, pembangunan, perusahaan mahupun pertanian mempunyai kaitan dengan keupayaan negara untuk terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan perubahan yang sedang berlaku.

"Pada pandangan kaola, inilah gambaran sebenar pembangunan pada hari ini dan kemajuan sebuah sektor bergantung kepada kekuatan sektor-sektor yang lain.

"Dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar, antara perkara yang perlu terus diberi perhatian ialah bagaimana negara dapat menghasilkan nilai yang besar daripada setiap usaha yang dilaksanakan," kata Yang Berhormat lagi.

Menurut Yang Berhormat, kita tidak boleh hanya berpuas hati apabila sesuatu projek berjaya disiapkan ataupun sesuatu program berjaya dilaksanakan. Yang lebih penting ialah sejauh mana usaha tersebut meningkatkan produktiviti, membuka peluang baharu kepada rakyat, mengembangkan perusahaan tempatan dan mewujudkan aktiviti ekonomi yang berterusan.

Sepanjang persidangan ini juga kata Yang Berhormat, kita banyak membincangkan mengenai persediaan negara menghadapi masa hadapan. Persediaan tersebut bukan hanya bermaksud menyediakan lebih banyak kemudahan ataupun memperkenalkan dasar-dasar baharu. Yang lebih penting ialah memastikan rakyat dan perusahaan tempatan mempunyai keupayaan untuk merebut peluang yang akan diwujudkan.

Hasil daripada perubahan tersebut tambah Yang Berhormat, kita mahu melihat lebih ramai usahawan tempatan yang mampu berkembang ke pasaran antarabangsa.

"Kita juga melihat sektor pertanian terus beralih kepada pengeluaran yang lebih moden dan bernilai tinggi. Kita juga mahu melihat lebih ramai belia memilih untuk menjadi pencipta pekerjaan dan bukan sahaja mencari pekerjaan. Apabila lebih ramai rakyat mampu mencipta nilai, negara juga akan menjadi lebih berdaya tahan," ujar Yang Berhormat lagi.