Timba ilmu, pengalaman bidang pengurusan, pentadbiran

15 Jul 2026 - 8:35am

Berita dan Foto : Ihsan HiTune Group of Companies

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Julai. - Pelatih-pelatih yang mengikuti latihan dalam bidang pengurusan dan pentadbiran di HiTune Group of Companies mengakui berjaya menimba ilmu serta pengalaman yang amat berharga sepanjang menjalani latihan di syarikat berkenaan.

Wakil pelatih, Awang Syafi'i bin Mujib Islam, pada Majlis Penghargaan yang berlangsung di Ibu Pejabat HiTune Group of Companies di sini berkata, pelbagai skop bimbingan, tunjuk ajar dan nasihat yang diterima dalam bidang pengurusan dan pentadbiran telah memberikan inspirasi yang sangat bermakna kepada semua pelatih.

"Pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang lapan bulan latihan telah banyak membentuk diri kami untuk menjadi individu yang lebih berkeyakinan, bertanggungjawab serta bersedia menghadapi cabaran pada masa hadapan," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi HiTune Group of Companies, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang, melahirkan rasa bangga terhadap komitmen yang ditunjukkan oleh para pelatih sepanjang tempoh latihan.

Beliau menyifatkan kesungguhan dan dedikasi yang dipamerkan telah membuahkan hasil yang amat signifikan dalam meningkatkan kemahiran serta pembangunan diri para pelatih.

Majlis turut menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif HiTune Group of Companies, Dayang Hernah Nur Imani binti Muhd. Jeffery, menyempurnakan penyampaian sijil kepada para pelatih.

Sepanjang mengikuti latihan selama lapan bulan, para pelatih berpeluang menyertai pelbagai aspek pengurusan acara (event management) serta pengendalian kejohanan-kejohanan sukan anjuran Yakin Sports, sekali gus memperkukuhkan pengalaman praktikal dan kemahiran profesional mereka.