Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
GADONG, Isnin, 26 Oktober. - Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berucap selain industri yang sedia ada, kita turut mengiktiraf potensi Ekonomi Hijau dan Ekonomi Biru sebagai bidang baharu yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi.
Sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga boleh diperbaharui daripada jumlah kapasiti terpasang penjanaan tenaga elektrik menjelang tahun 2035 membuka peluang dalam bidang tenaga solar dan infrastruktur sokongan, ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menambah, pembuatan mampan, pengurusan sisa dan kecekapan penggunaan sumber juga dapat menyokong pengeluaran yang lebih bersih serta mewujudkan aktiviti komersial baharu.
Sementara itu, jelas Yang Berhormat lagi, akuakultur mampan, pemprosesan makanan laut dan perkhidmatan logistik berkaitan berpotensi mengembangkan ekonomi biru kita, di samping memperkukuh keselamatan makanan serta memastikan pengurusan sumber marin yang bertanggungjawab.
"Kita juga perlu memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh BIMP-EAGA dengan memperkukuh hubungan dan jaringan serantau serta membangunkan keupayaan Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam bidang perkhidmatan, logistik dan pengedaran. Usaha-usaha ini dapat membantu kita memanfaatkan kedudukan strategik negara dan meletakkan NBD sebagai hab serantau yang lebih terhubung," ujar Yang Berhormat semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Perniagaan Brunei (Brunei Business Conference) 2026 bertempat di Rizqun International Hotel, hari ini.
Menurut Yang Berhormat, memandangkan saiz pasaran domestik NBD agak kecil, perniagaan perlu meneroka pasaran di luar negara untuk mencapai pertumbuhan yang mampan. Penglibatan yang lebih meluas dengan ASEAN, BIMP-EAGA dan rakan ekonomi di seluruh Borneo dapat membantu perniagaan NBD memperluas capaian pasaran, membangunkan kerjasama dan mengambil bahagian secara lebih aktif dalam rantaian nilai serantau dan global.
Bagi pelabur serantau dan antarabangsa, tambah Yang Berhormat lagi, NBD menawarkan peluang kerjasama dalam sektor seperti produk halal, farmaseutikal, pelancongan, teknologi, pengeluaran makanan mampan, logistik dan industri baharu yang lain. Memperluas hubungan ini penting untuk membuka peluang kepada fasa pertumbuhan ekonomi negara yang seterusnya.
"Perniagaan tempatan serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) juga perlu mempunyai perspektif yang lebih luas. Walaupun pasaran domestik kekal penting, kebergantungan sepenuhnya kepada pasaran tersebut boleh mengehadkan pertumbuhan perniagaan.
"Pengembangan ke pasaran serantau dan antarabangsa dapat membuka peluang baharu, meluaskan capaian pasaran serta menyokong pertumbuhan perniagaan jangka panjang. Pada masa yang sama, perniagaan perlu bersedia untuk mengambil bahagian dalam rantaian bekalan dan merebut peluang perolehan yang terhasil daripada pelaburan besar di NBD," jelas Yang Berhormat.
Untuk bersaing dengan jayanya di pasaran serantau dan antarabangsa, Yang Berhormat menggalakkan perniagaan tempatan meningkatkan produktiviti, memenuhi piawaian industri serta memperkukuh keupayaan sebagai pembekal dan penyedia perkhidmatan. Ini termasuk bersikap terbuka terhadap inovasi dan menggunakan teknologi moden untuk meningkatkan kecekapan, kualiti dan kebolehpercayaan.
Terang Yang Berhormat, seiring dengan pertimbangan terhadap penggunaan teknologi, pusat data dan Kecerdasan Buatan (AI) semakin mendapat perhatian di seluruh dunia, termasuk NBD.
Walaupun perkembangan ini menawarkan pelbagai peluang, tambah Yang Berhormat, ia juga memerlukan pertimbangan yang teliti terhadap keperluan sumber, khususnya penggunaan elektrik dan air. Oleh itu, pendekatan kita tidak seharusnya tertumpu semata-mata pada usaha menarik pelaburan pusat data.
Yang Berhormat seterusnya menyatakan Inisiatif Inovasi Makanan berasaskan AI oleh Envolve menunjukkan bagaimana AI dan teknologi termaju boleh digunakan untuk meningkatkan produktiviti dalam industri makanan serta menyumbang kepada pengukuhan keselamatan makanan negara.
"Sama pentingnya ialah mempersiapkan rakyat NBD untuk mengisi peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh industri baharu. Berdasarkan keperluan tenaga kerja yang dikemukakan oleh para pelabur, projek-projek yang sedang dilaksanakan dijangka menjana lebih daripada 2,900 peluang pekerjaan apabila mula beroperasi.
"Kerjasama erat antara majikan dengan institusi pendidikan dan latihan amat penting bagi memastikan rakyat NBD memperoleh kemahiran teknikal dan operasi yang diperlukan oleh industri. Keperluan ini telah memperkukuh lagi penyelarasan dan kerjasama antara kementerian bagi memastikan pembangunan tenaga kerja lebih sejajar dengan keperluan industri," ujar Yang Berhormat.
Usaha ini akan membantu memastikan rakyat NBD mempunyai kemahiran dan kesediaan untuk merebut peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan industri sedia ada dan industri baharu, terang Yang Berhormat.
Kongsi Yang Berhormat, merealisasikan semua peluang ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dengan pihak industri bagi memastikan persekitaran perniagaan yang kondusif, infrastruktur yang boleh dipercayai, proses kawal selia yang cekap serta laluan yang jelas bagi membolehkan perniagaan tempatan mengambil bahagian.