Siaran Akhbar : Ahli Jawatankuasa Penganjur AI x Cybersecurity Youth Readiness Program
Foto : Ak. Muhd Rifhan
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 11 September. - Program AI x Cybersecurity Youth Readiness 2026 telah berjaya menghimpunkan seramai 45 peserta dalam usaha meningkatkan kesedaran, kefahaman dan kesiapsiagaan golongan belia Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam menghadapi cabaran keselamatan yang berkaitan dengan perkembangan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Program sehari tersebut dianjurkan bersama oleh Nitro Security, Women in Cybersecurity Brunei dan cyber673, dengan sokongan daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam (NBD) serta kerjasama komuniti daripada Brunei4AI dan Brunei Cyber Security Association (BCSA).
Program ini memberi tumpuan kepada golongan belia sebagai generasi pengguna teknologi dan bakal tenaga profesional yang akan berhadapan dengan perkembangan pesat teknologi AI serta implikasinya terhadap keselamatan siber.
Walaupun majoriti peserta terdiri daripada golongan belia, pihak penganjur turut memberikan ruang kepada sebilangan kecil peserta yang berumur di bawah 18 tahun dan melebihi 40 tahun.
Pendekatan ini membolehkan program tersebut menghimpunkan perspektif daripada pelbagai peringkat umur serta latar belakang.
Program ini menampilkan seramai lima penceramah dan fasilitator serta merangkumi empat sesi utama yang menggabungkan pembelajaran teori, latihan amali dan simulasi berasaskan senario.
Sesi AI Fundamentals memberikan pengenalan kepada konsep keselamatan AI serta Open Worldwide Application Security Project (OWASP) Top 10 for LLM Applications, dengan memberi kefahaman mengenai antara risiko keselamatan utama yang berkaitan dengan aplikasi berasaskan Large Language Models (LLM).
Sesi Red Team Lab (Serangan) pula memberikan pengalaman amali kepada para peserta dalam mengenal pasti dan memahami teknik menyerang seperti prompt injection dan sensitive information disclosure melalui persekitaran Latihan Hack The Box yang terkawal.
Seterusnya, Sesi Blue Team Lab (Pertahanan) memberi penekanan kepada aspek pertahanan siber, termasuk pendekatan untuk mengenal pasti, menilai dan mengurangkan risiko keselamatan yang timbul daripada penggunaan teknologi AI.
Program turut disusuli dengan Tabletop Exercise (TTX), iaitu latihan simulasi berkumpulan berdasarkan beberapa senario keselamatan. Melalui latihan ini, para peserta berpeluang mengaplikasikan pengetahuan yang telah diperoleh serta membincangkan langkah-langkah tindak balas terhadap situasi melibatkan prompt injection dan information disclosure dalam konteks organisasi yang berbeza.
Pendekatan yang menggabungkan pembelajaran teori dengan pengalaman amali ini bertujuan untuk memastikan para peserta bukan sahaja memahami konsep keselamatan AI, malah dapat mengenal pasti risiko dan mempertimbangkan langkah- langkah mitigasi dalam situasi yang lebih praktikal.
Program ini tidak bertujuan untuk menjadikan para peserta sebagai pakar dalam bidang AI atau keselamatan siber dalam tempoh sehari. Sebaliknya, ia bertujuan untuk menyediakan asas pengetahuan, pengalaman praktikal dan keyakinan kepada para peserta untuk terus mendalami bidang tersebut.
Dalam menghadapi perkembangan teknologi AI yang semakin pesat, pemahaman mengenai aspek keselamatan dan risiko penggunaannya adalah penting bagi memastikan teknologi tersebut dimanfaatkan secara bertanggungjawab, selamat dan berkesan.
Pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan sebagai salah satu usaha untuk memupuk budaya kesedaran keselamatan siber dan penggunaan AI yang bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
Program ini juga diharapkan dapat menggalakkan para peserta untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang AI dan keselamatan siber serta seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekosistem teknologi yang lebih selamat dan berdaya tahan di NBD.