Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
TUTONG, Rabu, 22 Julai. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Badan Pelajar Fakulti Pertanian (FASS) bagi Sesi 2025 / 2026, Fakulti Pertanian telah menganjurkan Program Lawatan Pendidikan Industri Padi bertemakan ‘Memahami Rantaian Pengeluaran Padi dari Ladang ke Pengguna’.
Program tersebut bertujuan memberikan pendedahan secara langsung mengenai keseluruhan rantaian pengeluaran padi serta menghubungkan pembelajaran di bilik kuliah dengan amalan sebenar di lapangan.
Seramai 33 peserta menyertai program berkenaan, terdiri daripada pelajar Fakulti Pertanian serta pelajar daripada Fakulti Sains Halal dan Pelancongan Mampan, Fakulti Bahasa Arab, Fakulti Undang-Undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Fakulti Syariah. Lawatan turut diiringi oleh dua pensyarah dan dua kakitangan Fakulti Pertanian.
Lawatan dimulakan di Syarikat Jiayuan Agricultural Trading, Kampung Mulaut, bagi meninjau proses pengeluaran anak pokok padi serta penggunaan teknologi dan amalan pengurusan moden.
Program kemudiannya diteruskan ke Warisan Hasmit Agro Farm, Kampung Kulapis, bagi melihat pelaksanaan sistem pertanian dan penternakan bersepadu. Peserta turut mengikuti sesi perkongsian, aktiviti mengenal pasti ‘variety’ padi dan agen perosak tanaman serta pembentangan refleksi.
Program tersebut selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya SDG2, SDG4, SDG12 dan SDG17. Penganjurannya mencerminkan komitmen UNISSA dalam meningkatkan kesedaran terhadap keterjaminan makanan, menggalakkan amalan pertanian mampan serta melahirkan graduan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.