Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 28 Oktober. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Teknologi Islam (FIT) mengadakan Minggu Teknousahawan (Technoprenuership Week) 2026 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober 2026 di UNISSA, Kampus Gadong.
Bertemakan ‘Ideas Today, a Better Tomorrow’, program ini bertujuan memupuk minat keusahawanan dalam kalangan pelajar serta menggalakkan mereka mengembangkan pengetahuan dan kemahiran teknikal menjadi idea perniagaan yang berdaya tahan dan mampan.
Hari pertama program diisikan dengan sesi perkongsian daripada pihak industri yang dijemput iaitu Grominda Sdn Bhd, Arc Enterprise, Brunei Innovation Lab. Program turut diserikan dengan perkongsian pengalaman alumni serta pembentangan idea perniagaan rintisan oleh pelajar Tahun Satu.
Pada hari kedua dan ketiga, para peserta mengikuti bengkel pemikiran reka bentuk, pembangunan prototaip produk digital, pemasaran digital dan strategi penjenamaan. Antara fasilitator yang menyampaikan bengkel tersebut ialah Pengarah Pengurusan ThreeG Sdn. Bhd., Ang Thian Cheok.
Program ini turut menampilkan pameran projek pelajar dan pertandingan akhir ‘Clash of the Titans: Technopreneurship Challenge’.
Majlis penyampaian anugerah dan hadiah kepada para pemenang diadakan pada hari terakhir program yang disampaikan oleh Rektor UNISSA, Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani selaku tetamu kehormat majlis.
Majlis dimulakan dengan ucapan daripada tetamu kehormat yang antara lain menekankan bahawa kepentingan melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah mampu mencipta inovasi dan peluang pekerjaan melalui keusahawanan berasaskan teknologi.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan teknologi dan keusahawanan hendaklah berpandukan nilai Islam, etika, integriti serta Maqasid al-Syariah demi kesejahteraan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerjasama strategik bersama industri dan antara fakulti diperkukuh bagi mengembangkan idea serta hasil penyelidikan mahasiswa kepada produk dan perkhidmatan yang berpotensi dikomersialkan, sekali gus melahirkan teknousahawan Muslim yang berdaya saing dan menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi negara.
Pada majlis penyampaian tersebut, Dekan FIT, Profesor Dr. Awang Haji Abdul Hafidz bin Haji Omar, juga menyampaikan ucaptama yang antara lain menjelaskan bahawa Technopreneurship Week menyediakan platform kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk mengembangkan hasil penyelidikan dan idea inovatif kepada produk serta perkhidmatan yang berpotensi dikomersialkan, di samping mengasah kemahiran perniagaan, komunikasi, kreativiti dan penyelesaian masalah.
Melalui perkongsian pengalaman alumni usahawan, pertandingan serta penglibatan bersama industri, program ini diharap dapat membina keyakinan dan daya tahan mahasiswa untuk menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi negara serta merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Antara aktiviti yang turut diadakan ialah projek penjanaan pendapatan, pameran projek pelajar, pameran industri daripada Datastream Digital Sdn. Bhd. serta pertandingan ‘Highest Income Generator’, ‘Technopreneur Pitching’ dan video korporat.
Aktiviti berkenaan memberi pendedahan praktikal kepada mahasiswa dalam aspek interaksi dengan pelanggan, pengurusan jualan dan operasi perniagaan, di samping mengasah kemahiran komunikasi serta kreativiti.
Zaid’s Kitchen X Kaffeine Express dinobatkan sebagai johan pertandingan ‘Clash of the Titans: Technopreneurship Challenge’ menerusi projek pameran perniagaan makanan dan minuman (F&B), selain turut meraih johan kategori ‘Highest Income Generator’ dengan mencatatkan penjanaan pendapatan tertinggi.
Bagi kategori ‘Technopreneur Pitching’, gelaran johan disandang oleh Thoriq Rizky Maulana, (Mahasiswa Tahun 4) diikuti oleh Muhammad Firdaus bin Sait (Mahasiswa Doktor Falsafah) sebagai naib johan. Tempat ketiga pula diraih oleh Arifah binti Mohammad Aliwaridi (Mahasiswi Tahun 3).
Sementara itu, pertandingan video korporat dimenangi oleh kumpulan mahasiswa Fakulti Teknologi Islam yang diketuai oleh Awang Muhammad Zakwan bin Mohammad Muzainah.
Menerusi program ini, FIT berharap dapat memperkukuh kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah para pelajar, di samping membina keyakinan mereka untuk menceburi bidang keusahawanan serta menyumbang kepada usaha mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir, Timbalan Naib Presiden Bahagian Korporat Datastream Digital Sdn. Bhd., Dayangku Rimawaty binti Pengiran DPS Haji Abidin. Juga hadir ialah delegasi daripada The World University Rankings for Innovation (WURI) yang diketuai oleh Profesor Dr. Dong-Sung Cho.