Wadah memperkukuh hubungan budaya, sastera, persahabatan antara negara

16 Jul 2026 - 4:57am

Siaran Akhbar dan Foto : Lakap Lagor Entertainment

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Julai. - Lakap Lagor Entertainment (LLE) telah menghantar seramai empat orang bagi mewakili Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Festival Literasi Internasional Minangkabau (International Minangkabau Literacy Festival-IMLF) Ke-4, 2026 yang berlangsung di Bukittinggi, Sumatera Barat, Republik Indonesia.

LLE diketuai oleh Dayang Faridah binti Haji Ibrahim selaku Pgerusi, Pengarah Persembahan dan peserta. Manakala para peserta terdiri daripada penggiat seni dan ahli LLE, iaitu Awang Farisan bin Haji Mangsor, Awang Nur Al-Mawaridi @ Md. Nabil bin Haji Asmat dan Awang Mohammad Danissh Ithfazhuddin bin Abdullah Ridauddin.

Penyertaan berkenaan merupakan satu penghormatan kepada LLE untuk bersama-sama menyertai festival bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan penulis, budayawan, seniman, akademik dan penggiat sastera daripada puluhan negara.

Festival berkenaan diadakan bersempena dengan Sambutan 100 Tahun Jam Gadang dan menjadi wadah memperkukuh hubungan budaya, sastera serta persahabatan antara negara.

Sepanjang festival, delegasi LLE berpeluang mengikuti pelbagai program seperti forum literasi, persembahan kebudayaan, lawatan warisan, pembacaan puisi, serta sesi jaringan bersama peserta antarabangsa.

Penyertaan berkenaan turut membuka ruang untuk memperkenalkan warisan seni, budaya dan identiti NBD kepada masyarakat dunia.

Pada festival berkenaan, LLE telah berpeluang untuk mempersembahkan kesenian dan kebudayaan NBD yang disaksikan oleh 37 negara antarabangsa dengan persembahan medley puisi 'Doa Musafir', diikuti pertunjukan seni silat, tarian Bunga Simpor, nyanyian, persembahan semua peserta sebarkan ke Seantero Dunia dan Tarian Adai-Adai.

IMLF Ke-4 2026 berkenaan merupakan acara bertaraf antarabangsa yang berlangsung pada 3 hingga 7 Jun 2026 di Bukittinggi, Sumatera Barat, Republik Indonesia bersempena Sambutan 100 Tahun Jam Gadang, iaitu mercu tanda kebanggaan Kota Bukittinggi.

Antara objektif utama festival berkenaan ialah bagi menghimpunkan penulis, sasterawan, penyelidik, seniman, budayawan, akademik dan pencinta literasi daripada pelbagai negara. Selain itu, untuk memperkukuh hubungan budaya dan persahabatan antarabangsa melalui sastera, seni dan warisan Minangkabau serta memartabatkan budaya serta tradisi Minangkabau di persada dunia.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang festival, antaranya seminar dan forum antarabangsa di samping pelancaran buku, pameran buku dan kebudayaan, persembahan seni tradisional dan pelbagai budaya, bacaan puisi antarabangsa, dan lawatan budaya serta pelancongan di sekitar Bukittinggi.

Festival berkenaan disertai oleh 37 buah negara dengan keramaian 232 peserta antarabangsa dan ia merupakan salah satu acara literasi dan kebudayaan terbesar di Sumatera Barat.

Inilah kali kedua LLE menyertai IMLF dan kali pertama menyertainya pada 2023 dengan membawa persembahan teater legenda sejarah NBD, iaitu Nakhoda Manis.

Objektif menyertai festival berkenaan adalah bagi membawa dan memperkenalkan budaya NBD ke pentas antarabangsa melalui persembahan seni yang berkualiti; mengukuhkan hubungan budaya antara NBD dan Republik Indonesia melalui program pertukaran seni dan budaya.

Selain itu, memberi pengalaman dan pendedahan antarabangsa kepada penggiat seni tempatan, di samping mempromosi NBD sebagai negara yang kaya dengan seni, budaya dan tradisi Melayu Islam Beraja.

Oleh itu, penyertaan empat orang daripada LLE telah menyerlahkan komitmen negara dalam mempromosi seni, budaya dan kesusasteraan Melayu di peringkat antarabangsa. Diharapkan pengalaman yang diperolehi sepanjang festival berkenaan akan menjadi pemangkin kepada perkembangan seni dan budaya di NBD.

LLE berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang festival berkenaan akan menjadi pemangkin kepada perkembangan seni dan budaya di NBD serta memperkukuh kerjasama kebudayaan antara NBD dan Republik Indonesia pada masa hadapan.