Siaran Akhbar : Brunei Darussalam Central Bank
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 16 Oktober. - Minggu Pelabur Sedunia (World Investor Week - WIW) merupakan kempen global selama seminggu yang dipromosikan oleh Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (International Organization of Securities Commissions - IOSCO) bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dan perlindungan pelabur, serta mengetengahkan inisiatif yang dilaksanakan oleh badan pengawal selia sekuriti dalam bidang berkenaan.
Pada tahun ini, WIW memberi tumpuan kepada tema ‘Daya Tahan Pelabur, Penipuan Digital dan Amaran Penipuan’ (Investor Resilience, Digital Deception and Scam Alert).
Bersempena dengan WIW, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) berkongsi panduan praktikal untuk membantu orang ramai membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, mengenal pasti potensi risiko, serta melindungi wang mereka dengan lebih baik.
Artikel berkenaan memberi tumpuan kepada penipuan digital dan mengapa kandungan pelaburan dalam talian tidak seharusnya dipercayai hanya berdasarkan penampilannya.
Jangan mudah percaya dengan kandungan pelaburan dalam talian. Bayangkan sebuah video pelaburan muncul di media sosial awda. Video berkenaan memaparkan seorang individu terkenal, menjanjikan keuntungan yang lumayan dan mengarahkan penonton untuk menghubungi nombor WhatsApp mereka. Tidak lama kemudian, video yang sama dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp keluarga berserta mesej ‘Ada sesiapa pernah mencuba pelaburan ini?’.
Video berkenaan mungkin kelihatan meyakinkan. Namun, adakah ia benar-benar sahih?
Kemajuan teknologi, terutamanya Kecerdasan Buatan (Al), telah memudahkan penghasilan, pengubahsuaian dan penyebaran kandungan digital yang kelihatan meyakinkan. Imej, video, rakaman suara, tangkapan skrin dan dokumen boleh dimanipulasi atau direka untuk membuat sesuatu promosi pelaburan kelihatan benar. Wajah atau suara individu yang dikenali juga boleh digunakan tanpa pengetahuan atau kebenaran individu berkenaan.
Pada masa yang sama, maklumat yang mengelirukan boleh tersebar dengan pantas melalui media sosial, platform pemesejan dan rangkaian peribadi yang dipercayai.
Sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan kandungan pelaburan yang dilihat dalam talian, luangkan masa untuk mengesahkan kesahihan kandungan tersebut serta sumber asalnya.
Semak sumber dan kesahihan sokongan. Jangan bergantung semata-mata kepada akaun, pautan atau maklumat perhubungan yang diberikan dalam video, iklan atau mesej yang dikongsikan.
Sekiranya seseorang tokoh terkenal, syarikat atau organisasi dilihat mempromosi sesuatu pelaburan, sahkan terlebih dahulu melalui laman sesawang atau saluran media sosial rasmi mereka. Penipu boleh menyalahgunakan nama, imej, suara, logo atau identiti jenama untuk menjadikan sesuatu pelaburan kelihatan sah. Kandungan sedemikian boleh kelihatan sangat meyakinkan, sehingga sukar untuk membezakan sama ada sesuatu sokongan berkenaan benar atau palsu.
Orang ramai juga boleh merujuk kepada Senarai Pemegang Lesen BDCB (BDCB List of Licensees) bagi menyemak sama ada penyedia pelaburan mempunyai lesen untuk menjalankan aktiviti yang berkaitan, serta Alert List BDCB bagi mengenal pasti entiti yang perlu dielakkan. Kedua-dua senarai berkenaan boleh didapati melalui laman sesawang BDCB di ‘www.bdcb.gov.bn’.
Jangan anggap tangkapan skrin atau testimoni sebagai bukti. Tangkapan skrin yang menunjukkan keuntungan, baki akaun atau pengeluaran wang yang berjaya boleh dimanipulasi atau dipaparkan di luar konteks sebenar. Testimoni dan cadangan, termasuk yang dikongsikan oleh individu yang awda kenali, bukanlah bukti bahawa sesuatu pelaburan itu sah. Individu yang berkongsi maklumat berkenaan juga mungkin telah diperdaya. Buat pengesahan sewajarnya sebelum mengambil sebarang tindakan.
Gunakan alat Al dengan berhati-hati. Alat Al boleh membantu menjelaskan istilah kewangan yang kurang difahami. Walau bagaimanapun, maklumat yang diberikan mungkin tidak tepat, lengkap atau terkini. Oleh itu, pastikan maklumat penting disemak dan disahkan melalui dokumen rasmi produk pelaburan serta sumber yang boleh dipercayai.
Jangan sesekali berkongsi kata laluan, nombor pengenalan peribadi (PIN), kod pengesahan, maklumat akaun atau maklumat sensitif yang lain melalui alat Al atau platform dalam talian yang tidak dikenali.
Berhenti seketika sebelum mempercayai, meng’klik’ atau berkongsi. Sama ada kandungan pelaburan diperoleh melalui video di media sosial, alat Al, kumpulan WhatsApp atau individu yang awda kenali, ingatlah bahawa maklumat yang kelihatan meyakinkan tidak semestinya benar atau sahih.
Sebelum mengambil sebarang tindakan, tanyakan diri awda, iaitu siapakah yang mula-mula menerbitkan atau menyebarkan maklumat ini?; Bolehkah saya mengesahkan maklumat ini melalui sumber rasmi?; Adakah saya diarahkan ke laman sesawang, akaun atau maklumat perhubungan yang tidak dikenali?; dan apakah bukti yang saya miliki untuk mengesahkan kesahihan kandungan tersebut?.
Video, tangkap layar atau mesej yang kelihatan meyakinkan bukanlah bukti bahawa sesuatu pelaburan itu sah. Luangkan masa untuk membuat pengesahan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.