Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
TEMBURONG, Khamis, 20 Ogos. – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-Perkhidmatan; Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan; serta Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) lewat petang tadi mengadakan Majlis Dikir sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, bertempat di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Awang Haji Azman bin Ahmad.
Majlis didahului dengan penyerahan sumbangan wakaf daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong, Awang Muhammad Syahmi bin Haji Zaini dan diteruskan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis sebagai permulaan kepada bacaan Dikir Syarafil Anam, diikuti dengan bacaan Dikir Marhaban, sebelum diakhiri dengan Doa Penutup Majlis Dikir yang dipimpin oleh Awang Muhammad Syahmi.
Majlis berkenaan merupakan salah satu aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan untuk memeriahkan lagi suasana Sambutan Maulidur Rasul dengan berselawat dan memuji ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi menunjukkan rasa kasih sayang dan kesyukuran atas jasa-jasa Baginda.
Di samping itu, majlis berkenaan juga bertujuan untuk sama-sama menyemarakkan lagi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam selain dapat mengeratkan lagi silaturahim di antara pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan dengan jemaah masjid.
Turut hadir, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan serta Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong.