Zahir rasa syukur atas pengurniaan Bintang Kebesaran

16 Jul 2026 - 5:39am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Julai. - Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam (NBD) bukan sahaja menjadi tanda penghargaan terhadap jasa, komitmen dan dedikasi yang telah dicurahkan oleh para penerima, malah turut menjadi amanah besar untuk mereka terus memberikan khidmat terbaik kepada raja, negara dan masyarakat.

Para penerima yang ditemui selepas Majlis Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran NBD di Istana Nurul Iman pagi tadi menzahirkan rasa syukur, menjunjung kasih serta merakamkan penghargaan yang tidak terhingga atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pengurniaan penghormatan berkenaan.

Salah seorang penerima, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lau How Teck yang dikurniakan Bintang Kebesaran Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Ketiga (S.N.B), melahirkan rasa amat terharu dan menjunjung tinggi perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pengurniaan tersebut.

Menurut Yang Berhormat Ahli MMN, pengurniaan berkenaan merupakan satu penghormatan yang amat besar dan diterima dengan penuh rasa syukur, rendah diri serta tanggungjawab.

Yang Berhormat menyifatkan bintang kebesaran tersebut bukan sahaja sebagai satu penghargaan, malah merupakan satu amanah untuk terus berkhidmat dengan sebaik-baiknya serta memberikan sumbangan kepada raja dan negara.

“Saya amat menghargai kepercayaan dan penghormatan yang dikurniakan ini. Saya akan terus berusaha menunaikan amanah tersebut dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab,” ujar Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat turut mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan serta kekal karar memerintah NBD.

Sementara itu, dua pakar perubatan daripada Institut Jantung Negara (IJN), Malaysia turut menerima pengiktirafan dengan pengurniaan Bintang Kebesaran Darjah Paduka Seri Laila Jasa Yang Amat Berjasa Darjah Kedua (D.S.L.J) yang membawa gelaran Dato Seri Laila Jasa.

Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Konsultan Kanan Bedah Kardiotorasik IJN, Dato Seri Laila Jasa Dato’ Sri Dr. Mohamed Ezani bin Md Taib serta Ketua Jabatan Kardiologi dan Konsultan Kardiologi IJN Malaysia, Dato Seri Laila Jasa Dato’ Sri Azmee bin Mohd Ghazi.

Dato Seri Laila Jasa Dato’ Sri Dr. Mohamed Ezani menyifatkan pengurniaan tersebut sebagai satu penghormatan dan penghargaan yang amat tinggi, bukan sahaja kepada dirinya, malah turut membawa makna besar kepada IJN.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas kesempatan untuk hadir ke Istana Nurul Iman sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-80 Tahun.

“Bintang Kebesaran ini merupakan satu penghormatan yang sangat tinggi bukan sahaja kepada saya, tetapi juga kepada IJN. Ia adalah satu pengiktirafan terhadap segala usaha dan khidmat yang telah diberikan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kebawah DYMM atas kurniaan tersebut serta mendoakan agar baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang berterusan, dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki.

Manakala Dato Seri Laila Jasa Dato’ Sri Azmee pula menyifatkan pengurniaan tersebut sebagai lambang penghargaan terhadap usaha yang diberikan dalam membantu menyediakan rawatan serta penjagaan kesihatan kepada Kebawah DYMM.

“Bintang Kebesaran ini merupakan penghargaan terhadap apa yang telah dilakukan dalam membantu merawat dan menjaga kesihatan Kebawah DYMM. Saya berharap agar kami terus diberikan peluang untuk membantu dan memberikan khidmat yang terbaik dalam menjaga kesihatan baginda,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa gembira dan terharu apabila menerima berita mengenai pengurniaan tersebut, walaupun tidak pernah menjangkakan akan menerima pengiktirafan berkenaan.

Dalam pada itu, Atlet Wushu Negara, Awang Mohammad Adi Salihin bin Roslan turut menerima Bintang Kebesaran Darjah S.N.B. Pengurniaan tersebut menjadi pembakar semangat kepada atlet berkenaan untuk terus berusaha gigih serta memberikan yang terbaik dalam mengharumkan nama NBD menerusi bidang sukan.

Awang Adi Salihin menzahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih atas pengiktirafan yang diterima, yang disifatkannya sebagai penghargaan besar terhadap sumbangan serta pencapaiannya sepanjang bergiat aktif dalam sukan wushu.

Menurut Awang Mohammad Adi Salihin lagi, pengurniaan tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan peribadi, malah menjadi dorongan untuk terus meningkatkan prestasi dan membawa nama negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“InsyaAllah, saya akan terus berusaha dan melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara dalam bidang sukan. Pengiktirafan ini memberikan semangat kepada saya untuk terus memperbaiki diri dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.

Awang Mohammad Adi Salihin yang pernah mengharumkan nama negara menerusi kejayaan meraih pingat emas dalam acara wushu turut menyeru golongan belia agar mengambil peluang untuk menceburi bidang sukan serta memainkan peranan dalam menyumbang kepada kemajuan industri sukan negara.

Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran NBD tersebut mencerminkan penghargaan negara terhadap jasa, sumbangan dan dedikasi para penerima dalam pelbagai bidang, khususnya dalam memberikan khidmat bakti serta kepakaran demi kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.