Zahir rasa syukur bertemu raja dikasihi

23 Jul 2026 - 7:13am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

TUTONG, Rabu, 22 Julai. - Sesungguhnya keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama kerabat diraja ke Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 bagi Tahun 2026, hari ini, merupakan peluang keemasan yang begitu dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk daerah ini bagi menzahirkan rasa syukur dan kasih sayang yang amat mendalam serta kegembiraan terhadap seorang pemimpin negara berjiwa prihatin yang digalati.

Raja yang berjiwa rakyat, raja yang pemeduli dan raja yang penyayang, antara pemerian yang disuarakan oleh orang awam berkaitan keperibadian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai pemimpin yang adil lagi bijaksana dalam pemerintahannya.

Berkesempatan ditemu bual Pelita Brunei pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Tutong sekali gus sebagai daerah pembuka tirai bagi majlis berkenaan pada tahun ini bertempat di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Tutong, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, antaranya mengungkapkan pandangan peribadi apabila berkesempatan menyaksikan kemeriahan tema persembahan khas 'Raja Bijaksana Inspirasi Rakyat' bagi majlis tersebut di mana ia amat menyentuh hati semua kerana ia menggambarkan kepimpinan baginda yang sentiasa mengutamakan kebajikan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Tambah Yang Berhormat lagi, di bawah naungan baginda, rakyat Negara Brunei Darussalam (NBD) terus menikmati keamanan, keharmonian dan peluang untuk membangun bersama.

"Di Daerah Tutong, kita amat berbangga melihat semangat perpaduan yang begitu kukuh. Para penghulu mukim, ketua-ketua kampung, agensi kerajaan, sektor swasta, belia dan seluruh masyarakat berganding bahu menyahut hasrat baginda untuk sama-sama membangunkan negara kita. Semangat kebersamaan inilah yang menjadi kekuatan kita dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

"Pada kesempatan yang penuh bermakna ini, patik dengan penuh takzim merafakkan sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Hari Keputeraan baginda. Patik dan seluruh rakyat serta penduduk Daerah Tutong mendoakan semoga Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta seluruh kerabat diraja kesihatan yang berpanjangan, keberkatan umur serta kekuatan untuk terus memimpin negara dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Daulat Kebawah Duli Tuan Patik! Semoga NBD terus kekal aman, makmur dan diberkati Allah Subhanahu Wata'ala," ujar Yang Berhormat yang juga selaku Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong.

Sementara itu, salah seorang pesara guru di bawah Kementerian Pendidikan yang suatu ketika dahulunya mula bertugas pada tahun 1984, Awang Muhammad Krisdnata bin Muhammad Ali turut berkesempatan mencurahkan pandangan peribadi mengenai antara kebajikan dan kesejahteraan yang telah dinikmati sepanjang di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia selama ini yang mana baginda sangat mengambil berat perihal kebajikan rakyat dan penduduk NBD seperti dari segi pendidikan secara percuma malahan kepada pelajar peringkat universiti turut diberi Elaun Pelajaran.

Tambah beliau yang berasal dari Kampung Bukit Udal Daerah Tutong lagi, antara nikmat yang perlu disyukuri selama ini ialah kemudahan kesihatan yang diberikan secara percuma dan juga pemberian pencen tua kepada warga tempatan yang telah mencapai usia 60 tahun di negara ini.

Dalam pada itu, Awang Muhammad Krisdnata yang juga selaku Ketua Bahagian Kebudayaan dan Kesenian dalam Pakatan Sang Jati Dusun (PSJD) turut berkata PSJD dan masyarakat etnik Dusun khususnya di Daerah Tutong turut tidak ketinggalan dalam sama-sama menggembleng tenaga menyokong aspirasi negara dengan menterjemahkan matlamat wawasan melalui pelestarian budaya, pemerkasaan generasi muda dan pengukuhan perpaduan masyarakat melalui penganjuran pelbagai acara kebudayaan tahunan seperti Panakod Adau Gayoh.

"Daulat Kebawah Duli Tuan Patik. Bersama-samalah kita bermunajat selaku rakyat dan penduduk di negara ini kepada Allah Subhanahu Wata'ala semoga baginda sentiasa dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan yang baik dan kekal karar memerintah singgahsana kerajaan," ucap beliau.

Dalam pada itu, Dayang Rasidah binti Haji Mohd. Salleh yang berasal dari Kampung Petani Daerah Tutong, turut berkesempatan meluahkan jiwa kesyukuran dan kemeriahan yang dirasai lebih-lebih lagi ketika berpeluang menjunjung keberangkatan baginda berserta kerabat diraja yang sekali gus melambangkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan raja sebagai Ulul Amri selaku peneraju dalam mencapai kemajuan negara yang merdeka lagi berdaulat ini.

"Semoga Kebawah Duli Tuan Patik serta kerabat diraja dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam perlindungan dan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala, sihat walafiat, aman sejahtera serta kekal karar memerintah turun-temurun di atas takhta singgahsana kerajaan dan NBD terus berada dalam keadaan aman, damai serta dengan rahmat, taufik dan inayah-Nya jua," ujarnya tulus.

Di samping itu, Pelita Brunei turut berkesempatan menemu bual salah seorang pelancong berasal dari Sydney, Australia, Inaya Hasim bersama suaminya, Mohammed Uzair yang baharu sahaja tiba di NBD kelmarin mengongsikan keberadaan mereka di negara ini hanya untuk melancong santai sambil berhasrat untuk melawat keindahan masjid-masjid di ibu negara dan juga suasana keunikan Kampong Ayer namun ini adalah rezeki yang tidak disangka-sangka mereka dapat mengikuti kemeriahan majlis besar-besaran ini secara langsung.

"Pastinya saya bersama suami begitu teruja untuk menyaksikan perjalanan majlis ini lebih-lebih lagi kami tidak pernah merasai detik suasana sebegini di mana-mana. Alhamdulillah, dengan menyaksikan keunikan budaya masyarakat di negara ini khususnya di Daerah Tutong dalam sama-sama berhimpun bagi meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan khusus seorang raja berdaulat NBD pastinya menjadi kenangan manis yang begitu berharga. Selamat Ulang Tahun Kebawah DYMM," luahnya sebelum mengakhiri sesi temu bual bersama Pelita Brunei.