Majlis Ilmu 2026 menjulang keunggulan falsafah MIB

11 Nov 2026 - 11:28am

Rencana dan Foto : Nurdiyanah Rajami

MAJLIS Ilmu merupakan acara tahunan sejak mula ia diungkayahkan pada tahun 2004, bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Saban tahun, majlis ini umpama sebuah gudang permata yang banyak menyajikan pelbagai ilmu pengetahuan kepada rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam (NBD) sama ada melalui seminar, forum dan juga ceramah. Ia sangat bertepatan dengan objektif utama Majlis Ilmu iaitu menjadi mercu tanda kepimpinan intelektualisme Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan sebagai wadah menghidangkan ilmu dan maklumat yang berguna serta bermanfaat kepada rakyat dan penduduk di NBD.

Pada tahun ini, Majlis Ilmu yang diadakan bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 diungkayahkan bersama dan diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri dengan melibatkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Mufti Kerajaan. Penganjuran Majlis Ilmu tahun ini juga didukung dan disokong oleh Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja.

Majlis Ilmu yang kini mencecah usianya 22 tahun dijadualkan dengan pengisian sepertimana lazimnya dilaksanakan pada sebelumnya iaitu bermula dengan Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2026 pada 7 November 2026, Forum Perdana Majlis Ilmu 2026 pada 12 November 2026, Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2026 pada 14 November 2026 dan Seminar Majlis Ilmu 2026 pada 17 November 2026.  Manakala Pameran Majlis Ilmu 2026 dibukakan kepada orang ramai selama lapan hari bermula hari perasmiannya sehingga 14 November 2026 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas (ICC).

Forum Daerah-daerah sempena Majlis Ilmu 2026 turut menjadi salah satu pengisian Majlis Ilmu 2026 yang diadakan di Daerah Belait pada 19 November 2026, diikuti di Daerah Brunei dan Muara pada 23 November 2026. Sementara itu, Forum Daerah-daerah sempena Majlis Ilmu 2026 bagi Daerah Tutong akan diadakan pada 26 November 2026 dan di Temburong pada 30 November 2026.

Perkasa Tema ‘Melayu Islam Beraja: Tonggak Kedaulatan Negara’

Dengan melakar keistimewaan tema Majlis Ilmu 2026, ‘Melayu Islam Beraja: Tonggak Kedaulatan Negara’ mencerminkan kepentingan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai asas dalam memelihara identiti, perpaduan dan kedaulatan NBD.

Menyentuh antara huraian skop tema berkenaan, MIB merupakan falsafah NBD yang telah diisytiharkan secara rasmi semasa pengisytiharan kemerdekaan pada 1 Januari 1984.

Walaupun falsafah MIB hanya diisytiharkan secara rasmi pada tahun 1984, namun ia telah wujud lebih dari 650 tahun yang lalu, iaitu bermula sejak pemerintahan Awang Alak Betatar, Sultan Brunei yang pertama yang memerintah dari tahun 1363 sehingga 1402. Setelah memeluk agama Islam, Awang Alak Betatar menukar namanya kepada Sultan Muhammad Shah dan semenjak itu lahirlah konsep Brunei sebagai sebuah negara MIB dengan tiga komponen asas yang dimanifestasikan dalam Kesultanan Melayu Islam.

Ajaran agama Islam terus berkembang dengan pesat di NBD, khususnya semasa pemerintahan Sultan Sharif Ali, iaitu Sultan Brunei yang ketiga yang memerintah dari tahun 1425 sehingga 1432. Antara bukti tersebut ialah pembinaan masjid pertama di Brunei yang dikenali sebagai Masjid Sultan Barakat dan masjid tersebut dijadikan sebagai rumah ibadat pertama dan pusat pendidikan Islam bagi Brunei ketika itu. Selain itu, kewujudan bangsa dan bahasa Melayu, agama Islam, sistem beraja, tradisi dan undang-undang Islam sebelum tahun 1906 juga membuktikan bahawa konsep MIB itu telah wujud sebelum pengisytiharan kemerdekaan tahun 1984.

Falsafah MIB menegaskan bahawa NBD adalah sebuah negara Melayu yang melaksanakan ajaran agama Islam dan mengamalkan nilai-nilai murni Islam yang benar dengan mengekalkan sistem pemerintahan Melayu yang dipimpin oleh Sultan dan memelihara nilai-nilai luhur bangsa Melayu, bahasa, adat resam dan kebudayaan Melayu yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Oleh yang demikian, dengan tema Majlis Ilmu 2026 berkenaan, ia sememangnya menyimpul harapan tulus secara holistik antaranya untuk membangkitkan rasa kasih sayang dan rasa hormat serta taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan mensyukuri kepimpinan baginda yang bijaksana dalam memelihara keamanan, kemakmuran, kesejahteraan dan kedaulatan negara.

Selain itu, dengan pemerkasaan tema berkenaan, ia juga diharap agar dapat meningkatkan kefahaman dan pengetahuan masyarakat mengenai falsafah MIB dan kepentingan mempertahankannya sebagai dasar yang kekal relevan seiring dengan peredaran zaman. Ini juga sekali gus untuk terus menimbulkan kesedaran orang ramai akan tanggungjawab semua lapisan masyarakat di negara ini untuk terus mendukung falsafah MIB dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, ia juga dihasrat untuk mengenal pasti cara atau kaedah pendidikan yang terbaik dalam menanam nilai dan sikap yang positif kepada generasi muda berasaskan acuan falsafah MIB serta meningkatkan kemahiran agar mereka bersedia menghadapi apa jua cabaran pada masa akan datang.