Menjejaki keindahan ruang pameran Majlis Ilmu 2026 beridentiti kebruneian

16 Nov 2026 - 10:23am

Rencana dan Foto : Nurdiyanah Rajami

PAMERAN Majlis Ilmu pada tahun ini mengetengahkan pelbagai usaha yang berterusan daripada kementerian-kementerian dan sektor swasta bagi mengukuhkan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai tonggak kedaulatan negara.

Bertemakan konsep digital dan interaktif, pameran ini dibahagikan kepada enam kluster utama, iaitu Menghayati Sejarah Negara Melayu Islam Beraja; Mengukuhkan Kesetiaan kepada Ugama, Raja dan Negara; Mempertahankan Keyakinan terhadap Nilai-nilai Islam; Memelihara Keharmonian Sosial; Menghayati Amalan Tradisi Berbaik-baik; dan Menghayati Warisan Budaya dan Tradisi yang tidak bercanggah dengan agama Islam. Tema bagi enam kluster ini merupakan elemen MIB yang menjadi tonggak kepada kedaulatan Negara Brunei Darussalam (NBD).

Dalam ruang pameran Kluster Pertama berjudul ‘Menghayati Sejarah Negara MIB’ yang dipersembahkan oleh Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi MIB antaranya mempamerkan sejarah bermulanya MIB di NBD. MIB diisytiharkan secara rasmi sebagai falsafah negara pada 1 Januari 1984. Namun, sejarah membuktikan bahawa MIB di NBD mula diterapkan sejak pemerintahan Sultan Brunei yang pertama, iaitu Sultan Awang Alak Betatar yang telah memeluk agama Islam sehingga dikenali sebagai Sultan Muhammad Shah pada tahun 1368M. Dari sejak itu, terbentuklah pemerintahan yang bercorak Kesultanan Melayu Islam.

Menuju ruang pameran dalam Kluster Kedua yang mengetengahkan tajuk ‘Mengukuhkan Kesetiaan kepada Ugama, Raja dan Negara’ menyerlahkan pengukuhan kesetiaan kepada agama, raja dan negara yang merupakan nilai MIB, menekankan hubungan erat antara rakyat dengan institusi pemerintahan, serta tanggungjawab bersama dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemajuan negara; dan kesetiaan yang utuh dalam kalangan rakyat dan penduduk merupakan antara tonggak ke arah kedaulatan negara. Pameran dalam kluster ini dipersembahkan oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Jabatan Mufti Kerajaan dan Pusat Sejarah Brunei.

Dalam ruang pameran Kluster Ketiga dengan menampilkan tajuk ‘Mempertahankan Keyakinan Terhadap Nilai-Nilai Islam’ telah dipersembahkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Bank Islam Brunei Darussalam dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei. Pameran dalam kluster ini antaranya menyentuh mengenai selepas kemerdekaan NBD pada tahun 1984, kedudukan agama Islam semakin diperkukuhkan melalui pelbagai dasar dan institusi negara yang menyokong pembangunan kehidupan berteraskan nilai Islam. Ia juga mempamerkan usaha mempertahankan cara hidup bermasyarakat dan bernegara yang bersendikan ajaran-ajaran agama Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah.

Sementara itu, tajuk ‘Memelihara Keharmonian Sosial’ telah menghiasi ruang pameran bagi Kluster Keempat yang dipersembahkan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pembangunan, Majlis Ugama Islam Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) di bawah Sistem Kebajikan Negara. Ruang pameran bagi kluster ini telah mengetengahkan bahawa di NBD, keharmonian sosial ialah hasil daripada pengamalan nilai-nilai MIB yang menekankan perpaduan, toleransi dan kesejahteraan bersama. Keharmonian sosial mewujudkan suasana kehidupan yang aman, mengurangkan konflik, saling menghormati antara satu sama lain dan memperkukuhkan hubungan sesama manusia. Pameran dalam kluster ini mempamerkan usaha dan inisiatif kerajaan dalam menjaga keharmonian sosial yang menjadi sebahagian daripada tonggak pembangunan dan kedaulatan negara secara menyeluruh.

Sifat amalan berbaik-baik merupakan amalan masyarakat Brunei dan berperanan penting dalam mewujudkan keharmonian sosial, memperkukuhkan perpaduan serta mengekalkan kestabilan negara. Budaya hormat-menghormati dan berbaik-baik ini turut menjadi asas dalam hubungan diplomatik NBD dengan negara serantau dan antarabangsa, selaras dengan pendekatan diplomasi yang mengutamakan persefahaman, kerjasama dan hubungan persahabatan yang berkekalan. Perkara berkenaan antara yang dimuatkan dalam ruang pameran bagi Kluster Kelima iaitu ‘Menghayati Amalan Tradisi Berbaik-baik’. Selain itu, dalam era digital dan kecerdasan buatan yang berkembang pesat telah mengubah cara manusia berinteraksi, berkomunikasi dan memperoleh maklumat. Pameran dalam kluster ini dipersembahkan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Menjejaki ruang pameran bagi kluster terakhir iaitu ‘Menghayati Warisan Budaya dan Tradisi’ yang telah dipersembahkan oleh KKBS antaranya menyentuh bahawa menghayati warisan budaya dan tradisi yang tidak bercanggah dengan agama Islam merujuk kepada segala bentuk nilai, adat, bahasa, kesenian, institusi dan amalan kehidupan masyarakat Brunei yang diwarisi daripada generasi terdahulu serta selaras dengan konsep MIB, iaitu budaya Melayu yang diamalkan selaras dengan nilai keislaman dan menghormati sistem beraja.

Secara kesimpulannya, Pameran Majlis Ilmu 2026 memberikan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai peranan MIB sebagai asas pembentukan identiti kebangsaan, pembangunan negara dan kedaulatan NBD. Menerusi pameran ini juga, masyarakat akan lebih memahami bahawa MIB bukan hanya tertumpu kepada nilai-nilai murni, adat dan tradisi semata-mata, bahkan merangkumi nilai yang lebih luas seperti kesetiaan kepada agama, raja dan negara, keyakinan terhadap nilai-nilai Islam, memelihara keharmonian sosial, penghayatan amalan tradisi berbaik-baik serta penghayatan warisan, budaya dan tradisi yang tidak bercanggah dengan agama Islam. Kesemua nilai ini saling melengkapi dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu, berakhlak mulia dan beridentiti kebruneian.