Berita dan Foto : Ihsan Urus Setia Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2026
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 30 Ogos. - Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2026 bakal menyaksikan persaingan 20 pasukan tempatan dan luar negara, termasuk pasukan elit dari Republik Singapura dan Malaysia.
Kejohanan dwitahunan yang dinanti-nantikan itu merupakan antara acara bagi memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Peringkat Daerah Brunei dan Muara.
Pengerusi Bersama Kejohanan, Awang Thomas Koh melahirkan keyakinan bahawa kejohanan edisi kali ini akan menyaksikan perlawanan yang lebih sengit, menarik dan mendebarkan dengan penyertaan pasukan-pasukan terbaik dari dalam dan luar negara.
“Kejohanan ini akan menjadi medan untuk menguji kemantapan setiap pasukan, di samping menjadi platform untuk menggilap pemain-pemain berbakat yang berpotensi dipilih ke peringkat kebangsaan,” jelasnya.
Kejohanan akan dibahagikan kepada empat kumpulan yang akan beraksi secara liga sebelum pasukan-pasukan terbaik mara ke pusingan suku akhir, diikuti peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir.
Pasukan dari Malaysia yang menyertai kejohanan berkenaan termasuk DS X Kota, Makkah FC dan Wirajaya FC, manakala Republik Singapura akan diwakili ASEAN Futsal.
Sementara itu, pasukan-pasukan tempatan yang mengambil bahagian ialah Wasik FC, BK Sahabat, MSSSBD, ISC FC, KAR, PES, Syah Kampong, SBC, Aircat FC, YND dan Fenix FT.
Mesyuarat pengurus-pengurus pasukan dan cabutan undi kejohanan akan diadakan pada 1 September 2026, bertempat di Dewan Teater, Aras Bawah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, pada jam 8.00 malam.